MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong di sini.
Turut mengundi di situ ialah calon BN DUN Gadek, S. Nadarajah yang membuang undi di saluran empat pada pukul 9.10 pagi.
Mohd. Noor Helmy bersama isteri, Datin Noor Hidayah Nazari tiba di pusat mengundi pada pukul 8.35 pagi.
Beliau disambut para pengundi yang mengambil kesempatan berswafoto di depan pintu masuk SK Seri Duyong kira-kira 15 minit.
Mohd. Noor Helmy turut meninjau beberapa saluran mengundi sebelum beratur di saluran empat manakala isterinya di saluran lima dan membuang undi pada pukul 9.35 pagi.
Beliau mendapati, proses pengundian berjalan lancar dengan cuaca yang baik serta suasana yang tenang di pusat mengundi.
Menurutnya, kehadiran pengundi amat memberangsangkan apabila purata peratusan keluar mengundi di sembilan saluran yang dipantau melebihi 40 peratus dengan saluran pertama mencatatkan kira-kira 70 peratus.
Katanya, keadaan itu menunjukkan pengundi keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
“Kita menyeru semua pengundi supaya keluar mengundi awal memandangkan ramalan cuaca menunjukkan kemungkinan hujan pada sebelah petang.
“Kita bimbang keadaan hujan sedikit sebanyak akan mengganggu kehadiran pengundi,” katanya. – UTUSAN











