Empat ditahan seleweng 64,100 liter diesel - Utusan Malaysia

Empat ditahan seleweng 64,100 liter diesel

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan empat individu termasuk seorang warga asing selain merampas 64,100 liter diesel bernilai RM439,085 yang disyaki diseleweng dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian di Kedah, Rabu lalu.

Serbuan menerusi Op Taring Bravo 1 itu dilakukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Komander WCB/PSK, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, kesemua individu yang ditahan dipercayai mempunyai peranan sebagai pemandu lori, pekerja dan pemilik premis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada rampasan pelbagai peralatan dan kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara yang dirampas ialah dua lori tangki yang masing-masing mengandungi kira-kira 4,500 liter dan 14,000 liter diesel.

Turut dirampas ialah tiga tangki jenis skid tank yang mengandungi kira-kira 18,000 liter, 13,000 liter dan 14,000 liter diesel selain sebuah tong jenis IBC yang mengandungi kira-kira 600 liter bahan api berkenaan.

“Selain itu, polis turut merampas dua alat penyedut minyak, dua alat penyedut bermeter, tiga telefon bimbit serta beberapa peralatan dan kunci kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan,” jelasnya.

Mohd Zaki berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk komponen berkaitan dianggarkan berjumlah RM1,074,585. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini