Dakwa terkena sihir, Kak KM akui sukar bernafas dan tidur - Utusan Malaysia

Dakwa terkena sihir, Kak KM akui sukar bernafas dan tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan usahawan sensasi, Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli, 44, mendedahkan dirinya mengalami gangguan dipercayai akibat perbuatan sihir sehingga menjejaskan kesihatan, emosi dan rutin hariannya selama empat bulan.

Menurut Kak KM, gangguan tersebut bukan sahaja menyebabkan dirinya sukar tidur, malah turut mengalami kesukaran bernafas sehingga terpaksa berjaga sepanjang malam sebelum dapat melelapkan mata selepas waktu Subuh.

Malah, keadaan itu turut menjejaskan semangatnya untuk melakukan kerja harian apabila dia hilang motivasi dan tidak mempunyai keinginan untuk melakukan sebarang aktiviti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang tidak sihat. Bermula sekitar pukul 7 malam, iaitu selepas Maghrib, saya tidak boleh tidur sehinggalah keesokan paginya. Apabila hari sudah cerah dan selepas Subuh, barulah saya boleh tidur. Keadaan itu berlarutan selama tiga hingga empat bulan.

“Gangguan itu bukan sekadar menyebabkan saya tidak boleh tidur, tetapi turut membuatkan saya sukar bernafas.

“Selepas itu, macam-macam penyakit datang dan saya langsung tidak ada mood untuk melakukan kerja. Semua perkara tidak mahu dibuat, cuma memasak memang perkara yang perlu saya lakukan,” katanya.

Berkongsi lanjut, Kak KM berkata, dia tidak mendapatkan khidmat mana-mana bomoh kerana tidak mengenali individu yang boleh dipercayai untuk membantunya berdepan situasi berkenaan.

Bagaimanapun, dia mengakui pernah menghubungi seorang individu bagi mendapatkan bantuan, namun terkejut apabila dimaklumkan perlu menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak RM8,000.

“Saya sebenarnya tidak mengenali mana-mana bomoh. Pernah sekali saya membuat panggilan untuk bertanyakan bantuan, tetapi apabila mendengar bayaran pendahuluan sebanyak RM8,000 yang perlu dibayar terlebih dahulu sebagai yuran, saya terus hilang kepercayaan.

“Namun, saya percaya perkara mistik seperti ini memang wujud. Alhamdulillah, selepas anak-anak tahfiz menawarkan air kepada saya, keadaan semakin baik. Hari demi hari, saya mula berasa lebih okey,” katanya.

Dalam pada itu, Kak KM turut mendakwa gangguan berkenaan bukan hanya dirasai dirinya, malah turut memberi kesan kepada suasana di premis perniagaannya apabila beberapa kakitangan sering mengalami demam.

Lebih membingungkan, katanya, premis berkenaan turut dipenuhi lalat dan langau dalam jumlah yang luar biasa meskipun perniagaannya bukan berasaskan penjualan makanan.

“Di kedai pula, semua kakitangan asyik demam. Selain itu, kedai dipenuhi lalat dan langau yang sangat banyak sehingga memenuhi bahagian hadapan. Sedangkan kita bukannya menjalankan perniagaan makanan atau menjual makanan yang dimasak, tetapi keadaan tetap begitu,” katanya.

Mengulas kemungkinan gangguan itu berpunca daripada perasaan dengki individu tertentu terhadap pencapaian dirinya, Kak KM bagaimanapun menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah SWT.

Menurutnya, dia tidak mahu menuduh atau menuding jari kepada mana-mana pihak kerana bimbang perkara itu akhirnya mengundang fitnah.

“Kalau hendak dikatakan orang dengki, mungkin memang ada yang dengki apabila melihat pencapaian kita. Tetapi apabila perkara itu berlaku dan Allah mengizinkannya, apa yang boleh kita katakan? Saya tidak mahu menuduh sesiapa atau membuat orang lain pula menuduh dan memfitnah.

“Saya cuma mahu teruskan kehidupan dan tunjukkan bahawa saya masih boleh berjaya. Kalau ada orang yang sakit hati melihat kita, lama-kelamaan biarlah dia sendiri yang penat memikirkan bila kita hendak jatuh. Kita tidak perlu membalas apa-apa,” katanya.

Ditanya sama ada pengalaman tersebut menjadi punca dia dilihat semakin memperlahankan aktiviti di media sosial, Kak KM menjelaskan keadaan kesihatan dan kehilangan semangat menjadi antara faktor utama.

Jelasnya, perubahan itu bukanlah disengajakan, sebaliknya berlaku kerana dirinya tidak berada dalam keadaan yang benar-benar sihat.

“Sebenarnya, saya perlahan di media sosial kerana tidak sihat dan tidak ada mood. Semangat itu pun sudah hilang. Bukanlah saya sengaja hendak memperlahankan aktiviti, tetapi keadaan diri ketika itu memang tidak mengizinkan,” katanya.

Dalam masa sama, Kak KM turut menitipkan pesanan kepada individu yang didakwa melakukan perbuatan tidak baik terhadapnya supaya berhati-hati kerana setiap perbuatan mempunyai balasannya.

“Teruskanlah apa yang kamu rasa kamu okey untuk lakukan. Cuma ingat, Allah itu ada dan Allah Maha Melihat. Kalau kamu melakukan perkara yang tidak baik, berhati-hatilah kerana takut perkara itu berbalik kepada diri sendiri.

“Itu sahaja. Saya bukan orang yang mahu pergi menyerang atau membalas perbuatan orang lain. Saya bukan orang seperti itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini