Daniel Cheang kumpul kabinet, perabot lama - Utusan Malaysia

Daniel Cheang kumpul kabinet, perabot lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik penampilan moden dan personaliti ceria yang sering ditonjolkan di kaca televisyen, siapa sangka pengacara, Daniel Cheang sebenarnya memiliki jiwa klasik yang cukup menghargai keindahan barangan lama.

Bagi Daniel, mengumpul barangan antik, khususnya pinggan mangkuk, kabinet serta perabot yang dihasilkan melalui seni kemahiran tangan mempunyai nilai estetika tersendiri.

Malah, minat mendalam terhadap barangan lama mendorongnya menjadikan aktiviti mencari barangan terpakai atau thrifting untuk mengisi masa lapang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau dilihat daripada penampilan, mungkin ramai menyangka saya seorang yang sangat moden dan sentiasa mengikut perkembangan semasa. Tetapi sebenarnya saya seorang yang berjiwa tua.

“Saya sangat meminati perkara yang klasik dan tradisional, termasuk muzik serta barangan lama. Ramai yang terkejut apabila mengetahui saya suka mendengar lagu-lagu klasik dan tradisional kerana mereka menyangka saya hanya mendengar muzik pop,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah pengacara berusia 31 tahun itu, minatnya dalam mengumpul barangan lama bukan sekadar memenuhi minat peribadi, sebaliknya turut menjadi platform untuk menghargai hasil seni dan kemahiran pertukangan generasi terdahulu.

“Saya mempunyai banyak koleksi pinggan mangkuk lama, termasuk barangan lama yang disimpan tetapi tidak pernah digunakan atau dijual sebelum ini. Kabinet, meja dan kerusi di rumah saya juga ada yang dibeli secara thrifting.

“Kalau sesuatu barang itu masih elok dan boleh digunakan, mengapa perlu membazir membeli yang baharu? Saya sangat menghargai hasil pertukangan orang dahulu. Kalau kita lihat rumah Melayu tradisional, ada yang dibina tanpa menggunakan paku.

“Itu menunjukkan betapa hebatnya kemahiran mereka. Begitu juga dengan perabot lama. Ada keindahan dan nilai seni yang sukar kita temukan pada barangan hari ini,” jelasnya.

Menariknya, Daniel mengakui minat itu tidak dikongsi ahli keluarganya yang lebih cenderung menggantikan barangan lama dengan kelengkapan baharu.

Bagaimanapun, perbezaan pandangan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mengumpul barangan yang dianggap mempunyai nilai sentimental.

“Dalam keluarga, saya seorang sahaja yang mempunyai minat sebegini. Ahli keluarga saya berpendapat kalau sesuatu barang sudah lama, lebih baik dibuang atau digantikan dengan yang baharu. Tetapi saya pula berfikiran sebaliknya.

“Bagi saya, barangan lama itu sesuatu yang baharu kerana saya tidak pernah melalui zaman tersebut. Kadang-kadang ibu bapa saya menyuruh membuang barangan lama, tetapi saya akan mempertahankannya kerana percaya masih ada nilai pada barang tersebut,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai koleksinya, Daniel memberitahu antara barangan yang paling menarik perhatiannya ialah pinggan mangkuk lama yang mempunyai nilai pasaran sehingga ribuan ringgit.

“Kadang-kadang apabila kita mencari barangan lama, ia seolah-olah membawa kita kembali ke zaman yang kita sendiri tidak pernah lalui. Kita dapat membayangkan bagaimana kehidupan masyarakat ketika itu dan menyelami dunia generasi terdahulu.

“Bagi saya, pengalaman sebegini membuka mata untuk melihat dunia daripada perspektif yang lebih luas. Lagipun, seni tidak mempunyai batasan. Asalkan kita menyukai dan menghargainya, sentiasa ada ruang untuk meneroka.

“Antara barangan paling unik yang saya temukan adalah pinggan mangkuk lama. Ada yang nilainya boleh mencecah ribuan ringgit. Orang yang mempunyai pengetahuan tentang barangan antik pasti tahu nilainya. Tetapi bagi mereka yang tidak mengenali barangan sebegitu, mungkin sukar untuk percaya sebiji pinggan boleh mempunyai nilai setinggi itu. Ia sama seperti wang kertas lama. Walaupun nilai asalnya hanya RM1, apabila disimpan dalam tempoh yang lama, mungkin boleh dijual semula sehingga ratusan ringgit,” kongsinya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sewenang-wenangnya berbelanja besar semata-mata mahu memenuhi keinginan mengumpul barangan antik.

“Agak sukar untuk menetapkan bajet kerana kita tidak tahu bila akan menemukan sesuatu barangan yang benar-benar unik. Kalau barang itu mudah ditemukan, saya sanggup menunggu sehingga mendapat harga lebih murah,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini