NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memperbaharui sekatan terhadap Yemen selain mengambil langkah menyekat bekalan komponen dwiguna dan bahan kimia yang digunakan kumpulan Houthi untuk menghasilkan dron serta peluru berpandu.
Resolusi yang diterima pakai sebulat suara itu turut mengecam keras peningkatan kegiatan ketenteraan kumpulan berkenaan di Yemen serta serangan rentas sempadan terhadap Arab Saudi.
Resolusi yang diluluskan secara konsensus, iaitu tanpa undian rasmi kerana tiada bantahan dikemukakan, menuntut Houthi menghentikan serangan ketenteraan di Yemen, serangan terhadap Arab Saudi serta ancaman terhadap kapal perdagangan.
Resolusi itu turut melanjutkan pembekuan aset bersasar dan larangan perjalanan terhadap anggota kumpulan berkenaan sehingga 14 November 2027, selain memperbaharui mandat panel pakar yang memantau pelaksanaan sekatan sehingga 15 Disember 2027.
Embargo senjata terhadap Houthi yang dikenakan menerusi Resolusi 2216 pada April 2015 pula tidak mempunyai tarikh tamat yang ditetapkan.
Wakil Tetap Britain ke PBB, Sarah MacIntosh, berkata penerimaan resolusi secara konsensus itu membuktikan kesungguhan majlis berkenaan mengambil tindakan tegas terhadap serangan melulu Houthi di Yemen, Arab Saudi dan rantau lebih luas.
“Britain berdiri teguh bersama kerajaan Yemen dan Arab Saudi dalam menghadapi serangan ini, selain menegaskan semula hak mereka mempertahankan keselamatan dan kedaulatan mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.
Britain bertindak sebagai negara peneraju bagi isu Yemen di UNSC, sekali gus bertanggungjawab utama menyelaras tindakan majlis berkenaan berkaitan isu itu.
Resolusi berkenaan bertujuan menangani peningkatan keupayaan kumpulan itu membekalkan senjata sendiri. MacIntosh berkata, langkah itu memastikan rejim sekatan terus disesuaikan dengan ancaman Houthi yang semakin berkembang.
Ini termasuk kebergantungan kumpulan itu terhadap komponen dwiguna dan bahan kimia prekursor bagi pengeluaran senjata tempatan yang meningkatkan keupayaan mereka melancarkan serangan untuk menggugat kestabilan rantau berkenaan.
Pemantau PBB mendapati Houthi mengekalkan bekalan senjata menerusi kegiatan penyeludupan dan pengalihan komponen yang tersedia secara komersial.











