Trump tutup pintu rundingan dengan Iran, sasar negeri Demokrat

Trump tutup pintu rundingan dengan Iran, sasar negeri Demokrat

DONALD Trump (kiri) dan JD Vance menghadiri upacara Hari Veteran di Tanah Perkuburan Negara Arlington di Virginia, AS.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan Naib Presiden, JD Vance, memberi tumpuan kepada isu politik dalaman negara dan menghentikan usaha mencapai perjanjian untuk menamatkan perang dengan Iran.

Dalam hantaran di platform media sosial miliknya, Trump berkata, beliau mengarahkan Vance mengalihkan perhatian sepenuhnya kepada isu yang didakwanya melibatkan rasuah besar-besaran dan jenayah di bandar serta negeri yang ditadbir Parti Demokrat di seluruh AS.

Vance sebelum ini mengadakan perbincangan dengan pihak pengantara di Iran dan Qatar bagi menghidupkan semula rundingan untuk menamatkan perang yang bermula Februari lalu, selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Iran bertindak balas dengan menyekat laluan di Selat Hormuz, menyebabkan kenaikan mendadak harga bahan api di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Trump dilihat menamatkan usaha rundingan berkenaan dengan mengarahkan Vance memberi tumpuan kepada isu domestik, selain memperkecilkan keperluan mencapai perjanjian muktamad.

“Kita tidak memerlukan perjanjian dengan Iran. Zaman itu sudah lama berlalu. Kita sudah memperoleh wang mereka, beratus-ratus bilion dolar, dan kita juga sudah menguasai Selat itu!” tulis Trump.

Pengumuman itu secara tidak langsung menjadikan kebuntuan hubungan dengan Iran sebagai keadaan yang diterima kedua-dua pihak.

AS masih mengekalkan sekatan terhadap pelabuhan Iran, manakala Selat Hormuz sebahagian besarnya sudah dibuka semula kepada laluan kapal, termasuk kapal pengangkut minyak mentah.

Bagaimanapun, Washington tidak melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran sejak beberapa bulan lalu, manakala Teheran juga tidak melancarkan serangan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu balistik terhadap pangkalan tentera AS dan sekutunya di rantau itu.

Minggu lalu, Trump turut memperkecilkan kemungkinan serangan baharu terhadap Iran dan menyifatkan perang itu secara efektifnya sudah berakhir.

Dalam sidang media di Rumah Putih, Trump berkata, Israel dan sekutu Teluk di rantau itu mempunyai perlindungan yang mencukupi daripada ancaman Iran, justeru peningkatan konflik tidak diperlukan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini