PETALING JAYA: Syarikat teknologi, SRKK AI Berhad (SRKK AI) merekodkan untung bersih (PAT) sebanyak RM6.4 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9M26), sekali gus menyumbang 83.4 peratus daripada prestasi keseluruhan tahun kewangan lalu.
Pencapaian memberangsangkan itu didorong oleh lonjakan PAT suku ketiga (3Q26) sebanyak 15.1 peratus suku ke suku kepada RM2.3 juta berbanding RM2.0 juta pada suku kedua (2Q26), meskipun masih berbaki satu suku kewangan lagi.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SRKK AI, Yew Lip Sin berkata, pencapaian 83.4 peratus daripada PAT terlaras tahun lalu dalam tempoh sembilan bulan meletakkan syarikat pada landasan kukuh untuk menutup tahun kewangan semasa dengan cemerlang.
“Perkhidmatan perundingan IT dan pelaksanaan projek kami terus mendapat sambutan baik, manakala pendapatan berulang kekal menjadi tunjang utama dengan menyumbang hampir separuh daripada hasil suku tahunan.
“Melangkah ke hadapan, kami optimis pengkomersialan penyelesaian proprietari berasaskan kecerdasan buatan (AI), OnePrism bukan sahaja akan memacu pengembangan margin, malah menandakan peralihan penting kami daripada pengguna AI kepada pembangun AI,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai perbandingan, syarikat mencatatkan PAT terlaras berjumlah RM7.6 juta (tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FYE2025).
“Seiring peningkatan keuntungan, hasil bagi 3Q26 turut mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 13.2 peratus kepada RM34.2 juta berbanding RM30.2 juta pada suku sebelumnya.
“Lonjakan hasil itu dipacu oleh peningkatan 34.2 peratus daripada segmen perundingan teknologi maklumat (IT) dan pelaksanaan projek kepada RM7.8 juta, selain jualan perkakasan dan perisian IT yang lebih tinggi.
“Untung kasar bagi 3Q26 naik 10.1 peratus kepada RM8.6 juta daripada RM7.8 juta pada 2Q26 dengan margin kasar kekal stabil pada paras 25.2 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Syarikat menyasarkan pengkomersialan rangkaian penyelesaian OnePrism seawal tahun kewangan 2027 (FYE2027) yang merangkumi pemantauan petunjuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pengurusan sumber manusia serta pemaksimuman hasil menerusi model Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS).
“Bagi 9M26, hasil SRKK AI berjumlah RM95.9 juta atau 85.5 peratus daripada RM112.2 juta yang direkodkan pada FYE2025, dengan 54.6 peratus daripadanya disumbangkan oleh pendapatan berulang.
“Untung kasar 9M26 pula mencecah RM23.7 juta dengan margin kasar meningkat kepada 24.7 peratus berbanding 22.4 peratus pada tahun kewangan sebelumnya, manakala buku tempahan syarikat kekal teguh pada RM29.5 juta setakat 15 Oktober 2026,” katanya.
Terdahulu, syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 9 Julai lalu itu mengisytiharkan dividen sulung sebanyak 1.0 sen sesaham merangkumi dividen interim 0.3 sen dan dividen khas sekali beri 0.7 sen yang akan dibayar pada 19 November ini. – UTUSAN











