BN-PN dominasi persaingan PRN Melaka

BN-PN dominasi persaingan PRN Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gelombang biru Barisan Nasional (BN)–Perikatan Nasional (PN) sedang mendominasi persaingan PRN Melaka dengan kelebihan yang ketara berbanding Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, konsolidasi undi Melayu, moral jentera yang tinggi dan penerimaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri menjadi tiga faktor utama yang mengukuhkan kedudukan gabungan tersebut.

“Unjuran Ilham Centre meletakkan BN–PN di hadapan dalam 24 kerusi DUN, manakala PH berada pada kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Manakala dua lagi kerusi yang sebelum ini disandang oleh PH iaitu Ayer Keroh dan Kesidang dikategorikan sebagai sengit,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya lagi, dapatan Ilham Centre menunjukkan PH masih berjaya mempertahankan sokongan terasnya, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan kelompok bandar yang mempunyai kecenderungan politik yang telah terbentuk.

Namun jelasnya, kestabilan sokongan tersebut tidak disertai pertambahan segmen pengundi baharu yang signifikan untuk membolehkan PH mencabar dominasi BN–PN.

“Kekuatan PH masih tertumpu kepada kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Cina lebih besar serta kelompok pengundi yang konsisten menolak BN. Sebaliknya, usaha memperluas pengaruh kepada pengundi Melayu, pengundi fence sitter dan kelompok luar bandar belum menunjukkan perubahan yang mampu mengalihkan keseimbangan persaingan.

“Dalam kalangan pengundi yang masih belum membuat keputusan, PH juga gagal menampilkan tawaran politik yang benar-benar berbeza daripada kerajaan negeri sedia ada.

“Keadaan ini menyebabkan sebahagian pengundi lebih selesa mengekalkan pilihan terdahulu atau memberikan kelebihan kepada gabungan yang dilihat mempunyai peluang lebih besar untuk menang,” katanya.

Kesannya jelas Hisomuddin lagi, PH berada dalam keadaan sokongan yang stabil tetapi tidak berkembang, sekali gus mengehadkan potensi kemenangan kepada kerusi tradisi dan beberapa kawasan marginal.

“Tanpa penembusan segmen baharu, PH berisiko kekal sebagai blok politik yang mempunyai sokongan konsisten tetapi tidak cukup besar untuk mengubah penguasaan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Mengulas mengenai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Madani dan Bersatu tidak memperlihatkan keberkesanan yang jelas dalam membentuk persefahaman politik PH-Bersatu di peringkat pengundi.

Katanya, kerjasama yang berlangsung di belakang tabir tanpa penzahiran hubungan politik secara terbuka menyebabkan hala tuju kesepakatan tersebut gagal difahami oleh akar umbi.

“Pendekatan kerjasama secara ‘malu-malu’ ini mewujudkan ketaksaan dalam kalangan pengundi fence sitter yang tidak dapat mengenal pasti hubungan sebenar antara kedua-dua entiti politik. Ketiadaan mesej bersama menyebabkan penyokong PH dan Bersatu terus bergerak berdasarkan kesetiaan parti masing-masing tanpa dorongan yang jelas untuk menyatukan sokongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini