24 tahun makan hati dengan keluarga mentua

24 tahun makan hati dengan keluarga mentua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan semua perkahwinan baik-baik sahaja. Ada yang diuji dengan masalah kecurangan, kewangan, malah turut berdepan campur tangan, salah faham dan penerimaan keluarga mentua.

Minggu ini, saya kongsikan kisah Rafidah (bukan nama sebenar) yang hampir 24 tahun usia perkahwinan belajar menerima pelbagai ujian daripada keluarga mentua.

Bukan sahaja ketika anak-anak masih kecil, tetapi memasuki alam dewasa.Bertahun-tahun wanita itu berusaha menjadi menantu baik, tetapi tetap disisih dan dianggap orang luar oleh keluarga mentua dan ipar-duai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kisah wanita itu diceritakan salah seorang anak yang melihat layanan diterima ibu selama bertahun-tahun . Menurut Aini (bukan nama sebenar) sebagai anak, mungkin dahulu ketika kecil, dia tidak begitu memahami derita yang dilalui ibunya. Ibu tetap tersenyum, menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Namun semakin dewasa, Aini memahami ada banyak perkara ibu pendam.

“Saya perasan, setiap kali kami pulang dari rumah keluarga sebelah bapa, ibu akan menjadi pendiam. Ibu banyak termenung.

“Rupanya, ada banyak perkara yang disimpan,” ujarnya dalam pertemuan diatur baru-baru ini.

Kata Aini, sejak berkahwin, ibu cuba menerima keluarga bapa seperti keluarganya sendiri. Ibu berkahwin dengan bapa atas dasar suka sama suka.

“Ibu datang daripada keluarga sederhana. Sejak hari pertama menjadi isteri, ibu berjanji pada diri untuk menjadi isteri dan menantu yang baik,” kata Aini.

Pada awal perkahwinan, semuanya kelihatan baik-baik sahaja. Ibu rajin membantu nenek di dapur setiap kali pulang.

“Kalau ada kenduri, ibu datang awal. Kalau nenek tidak sihat, ibu paling prihatin. Sekiranya ada adik-beradik yang memerlukan bantuan, sedaya upaya ibu cuba membantu.

“Namun semakin lama masa berlalu, ibu mula menyedari dirinya tidak pernah benar-benar diterima oleh sebahagian keluarga mentua,” katanya.

Konflik pertama dilihat setiap kali nenek mengadakan majlis, ibu dan bapa menjadi orang terakhir mengetahui. Keluarga mereka diundang paling akhir.

Paling menyakitkan, ibu juga sering dibandingkan dengan ipar-duainya. Neneknya sering memuji anak menantu pandai mengambil hati dan rajin. Sedangkan ibu juga melakukan perkara sama .

Cuma caranya berbeza. Ibu tidak pandai menunjuk apa yang dilakukan. Ibu membantu dalam diam.

Namun, yang tidak kelihatan itulah yang sering tidak dihargai. Lama-kelamaan ibunya mula tertanya-tanya.

Adakah perkara yang dilakukan selama ini, tidak mencukupi? Kata Aini, konflik ketiga adalah apabila nenek cuba menjodohkan bapa dengan wanita pilihan keluarga.

Apabila perkara itu sampai ke telinga, ibu benar-benar terkejut.

Seperti biasa, bapanya menafikan dan kekal dengan pendirian tetap bersama ibu dan anak-anak.

Ibu juga memilih tidak melawan. Namun semakin hari, layanan keluarga nenek berubah dan dingin.

Ada yang mula menjauhkan diri. Ada yang bercakap sekadar perlu.

Tambah Aini, sepanjang membesar dalam keluarga, dia perasan ibu selalu memberi, tetapi jarang menerima.

Bukan hadiah, bukan juga wang. Tetapi penghargaan daripada keluarga bapa.

Semakin dia membesar, semakin dia memahami. Menurut Aini, dia juga mula perasan, apabila ibu dan ipar-duai berada dalam satu ruang, masing-masing berbual dengan begitu mesra.

Tetapi apabila ibunya cuba mencelah, suasana berubah tiba-tiba. Tiba-tiba mereka mengalih kepada topik lain.

Tidak habis di situ sahaja, setiap apa sahaja pemberian ibu kepada nenek, sering menjadi bahan perbandingan ipar-duai.

Ibu memberi bukan mengharap pujian, tetapi cuma menunjukkan budi bahasa sebagai menantu.

Lebih memilukan hati, kata Aini layanan yang diterima ibu ketika nenek sakit dan setelah sembuh.

“Ibu adalah antara menantu yang paling banyak berkorban. Sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menjaga nenek. Namun, nenek tidak pernah menghargai jasa dan segala pengorbanan ibu.

”Tetapi apabila anak menantu nenek yang lain datang sekali sekala, pujian melambung diberikan kepada mereka,” kata Aini.

Ibu cuba memujuk hati dan tetap meneruskan tanggungjawab sebagai menantu.

Tambah Aini, paling menyakitkan ibnya bukanlah kata-kata ipar-duai, tetapi apabila bapa memilih untuk berdiam diri.

Setiap kali meluahkan perasaan, bapa meminta ibu bersabar.

Ibunya benar-benar sedih. Bertahun-tahun, ibunya bersabar.

Akhirnya ibu sedar, tidak semua orang suka dan melihat kebaikannya, walaupun sudah sedaya upaya berusaha.

Menurut Aini, selepas kejadian itu ibu meletakkan jarak dengan keluarga sebelah bapa.

Masih menghormati keluarga mentua, tetapi tidak memaksa untuk diterima.

“Ibu juga tidak lagi terlalu bersusah payah membuktikan dia menantu yang baik. Ibu belajar untuk menjaga hatinya sendiri,” ujar Aini.

Menurut Aini, ketika kecil dia tidak mengerti sepenuhnya. Tetapi apabila dewasa, dia mula faham.

Ibunya seperti berada dalam keluarga bapa, tetapi ibu tidak pernah dianggap sebahagian daripadanya.

“Ada ketika saya sendiri marah melihat layanan diterima ibu sejak dahulu. Saya faham ibu sebenarnya terluka, namun tidak mahu kami anak-anaknya membenci keluarga bapa.

“Ibu selalu mengajar saya dan adik supaya jangan membalas dan memaafkan orang lain,” ujar Aini.

Sambung Aini lagi, dia tahu bapa juga tersepit. Bapa sayangkan ibu, tetapi bapa juga sayangnya keluarga yang membesarkannya.

Bapa cuba menjaga kedua-dua pihak, tanpa menyakiti antara satu sama
Lain. Tahun -tahun berlalu.

Sehingga ke hari ini, ibunya tetap menjaga silaturrahim. Hari ini, apabila dia melihat ibu semakin berusia, dia benar-benar faham.

Ibu bukan lemah, cuma memilih diam supaya anak-anak tidak membesar dengan kebencian.

Kisah ibu Aini yang bertahun-tahun bersabar menghadapi layanan keluarga mentua sangat sesuai dengan sifat sabar ketika diuji, menahan kemarahan dan membalas keburukan dengan kebaikan seperti dianjurkan dalam Islam.

Sebagaimana Firman Allah SWT, “Dan mintalah pertolongan ( kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar,”-(Surah Al-Baqarah ayat 153).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini