16 laporan ancaman siber, kerugian RM79.16 juta

16 laporan ancaman siber, kerugian RM79.16 juta

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 laporan berkaitan ancaman keselamatan siber diterima polis sepanjang tempoh 10 hingga 31 Oktober lalu dengan jumlah kerugian keseluruhan direkodkan sebanyak RM79.16 juta. 

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 kes melibatkan mata wang kripto yang mencatatkan kerugian sebanyak RM42.82 juta akibat daripada kompromi perkakasan dan kehilangan aset kripto.

Beliau berkata dua kes lagi melibatkan kes wang berkurangan dalam akaun bank membabitkan sebuah syarikat dengan nilai kerugian RM14.52 juta, manakala kes kedua merekodkan kerugian sebanyak RM21.80 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, turut dilaporkan kes ancaman siber yang melibatkan penggodaman paparan skrin LED sehingga memaparkan kandungan tidak wajar dan lucah, yang berlaku di Kluang dan Bandar Sunway,” katanya kepada media semalam.

Mengulas lanjut mengenai statistik di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 Rusdi berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 1,297 kes telah dilaporkan berbanding 1,174 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, jumlah kerugian mencatatkan penurunan di mana tahun ini merekodkan kerugian sebanyak RM125.61 juta berbanding kerugian tahun lepas yang mencecah RM239.20 juta untuk tempoh sama tahun lepas,” jelasnya.

Menurut Rusdi, ancaman keselamatan siber ditakrifkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) sebagai perbuatan atau aktiviti tanpa kuasa sah yang memudaratkan atau menjejaskan keselamatan sesuatu sistem komputer.

“Dalam mendepani ancaman ini, JSJK komited menjalankan siasatan, memperkukuhkan keupayaan analisis forensik digital khususnya berkaitan kripto, serta mengenal pasti kelemahan keselamatan sistem,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan, antaranya Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sistem kewangan, manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bertindak sebagai pihak yang bertanggungjawab penuh berhubung keselamatan siber.

“Kita minta pihak-pihak yang mungkin mengalami serangan atau cubaan (godaman) supaya tampil membuat laporan polis dan jangan berdiam diri, walaupun masih belum ada kerugian. Ini membolehkan pihak polis memantau dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini