SUNGAI PETANI: Pengambilan makanan berkhasiat dan minuman susu kultur boleh membantu menjaga kesihatan sistem pencernaan, sekali gus menyokong warga emas menjalani kehidupan lebih aktif dan sihat.
Pengarah Bersekutu Bahagian Perhubungan Awam dan Sains Yakult Malaysia Sdn. Bhd. (Yakult), Mazlyn Mena Mustapha berkata, penjagaan kesihatan secara berterusan penting bagi memastikan golongan itu dapat menikmati kehidupan berkualiti seiring peningkatan usia.
Menurutnya, minuman susu kultur Yakult bukan hanya sesuai untuk kanak-kanak, malah boleh dinikmati warga emas sebagai sebahagian daripada amalan pemakanan seimbang.
“Penjagaan kesihatan secara berterusan memainkan peranan penting dalam memastikan kehidupan warga emas kekal berkualiti seiring dengan peningkatan usia.
“Selain pengambilan makanan berkhasiat, amalan mengambil susu kultur juga boleh menjadi sebahagian daripada usaha menjaga kesihatan sistem pencernaan,” katanya ketika merasmikan Program Menuju Usia Emas: Sihat, Aktif dan Bahagia di Dewan Serbaguna Tikam Batu.
Program dengan kerjasama Hospital Pantai Sungai Petani itu disertai lebih 100 ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daerah Kuala Muda.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program berkenaan termasuk saringan kesihatan, sesi bicara kesihatan bersama pakar, senamrobik dan cabutan bertuah.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Siti Ishah Mat, 78, berkata, penjagaan kesihatan usus perlu diberi perhatian sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan tahap kesihatan, terutama apabila usia semakin meningkat.
Katanya, beliau sudah lama mengamalkan pengambilan susu kultur kerana percaya ia membantu menjaga sistem pencernaan.
“Saya turut melakukan senaman ringan dan mengamalkan pemakanan seimbang. Walaupun usia semakin meningkat, tahap kesihatan saya masih memuaskan dan tidak menghidap sebarang penyakit serius,” katanya.
Seorang lagi peserta, Rohani Nordin, 80, berkata, penglibatannya dalam aktiviti PAWE membantu dirinya mengekalkan gaya hidup aktif meskipun menghidap diabetes.
Katanya, beliau mengawal pemakanan, melakukan senaman secara berkumpulan dan mengamalkan pengambilan susu kultur sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Rokiyah Shaari, 78, berkata, faktor usia bukan penghalang untuk terus menjalani kehidupan aktif, sebaliknya beliau lebih gemar mengisi masa lapang dengan menyertai aktiviti sosial dan program kemasyarakatan.
Katanya, penglibatan dalam pelbagai program seumpama itu membolehkannya berinteraksi dengan rakan sebaya, sekali gus mengelakkan dirinya daripada terlalu banyak menghabiskan masa di rumah.
Menurutnya, aktiviti bersama masyarakat juga memberi peluang kepadanya melakukan perkara berfaedah selain membantu mengekalkan kecergasan fizikal dan kesihatan mental.
“Selagi masih berkemampuan, saya mahu terus aktif dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti. Usia bukan alasan untuk kita hanya duduk di rumah dan tidak melakukan apa-apa,” katanya.-
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti Yakult, boleh layari laman web Yakult di www.yakult.com.my.-UTUSAN











