SEKOLAH merupakan tempat kanak-kanak memperoleh ilmu, namun proses pembelajaran tidak seharusnya terbatas kepada mata pelajaran di dalam bilik darjah.
Pendidikan turut merangkumi pembentukan nilai, sikap, kemahiran, keyakinan diri dan keupayaan membuat keputusan yang menjadi asas kepada kehidupan mereka.
Perubahan gaya hidup dan perkembangan masyarakat menuntut pendekatan pendidikan yang lebih sesuai dengan keperluan semasa.
Ibu bapa dan guru perlu memberi ruang kepada kanak-kanak meneroka perkara baharu, mengenal pasti minat serta belajar melalui pengalaman. Setiap anak mempunyai keunikan tersendiri, justeru kaedah pembelajaran perlu mengambil kira perbezaan kebolehan dan kecenderungan mereka.
Selain pembelajaran formal, pengalaman di luar bilik darjah juga penting dalam membentuk perkembangan sosial dan emosi. Melalui interaksi dengan rakan sebaya, kanak-kanak belajar membina persahabatan, bekerjasama dan menghormati perbezaan.
Guru serta ibu bapa pula perlu mewujudkan persekitaran mesra agar mereka berasa selamat untuk berkongsi pandangan dan mencuba sesuatu yang baharu.
Pembelajaran secara inklusif membantu kanak-kanak memahami keperluan serta perasaan orang lain. Mereka juga perlu digalakkan bertanya, menyuarakan pendapat dan mengemukakan idea tanpa takut melakukan kesilapan. Pendekatan berasaskan aktiviti seperti permainan, projek kreatif dan pembinaan objek dapat menjadikan proses pembelajaran lebih menarik serta mudah difahami.
Penggunaan gambar, lukisan dan penceritaan visual turut membantu mereka memahami konsep dalam mata pelajaran seperti Matematik dan Sains.
Gabungan kaedah ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan kerana kanak-kanak bukan sahaja menghafal fakta, malah dapat menghubungkan ilmu dengan pengalaman harian.
Pengalaman kejayaan dan kegagalan juga perlu dijadikan sebahagian daripada proses pendidikan. Ibu bapa boleh berkongsi pengalaman sendiri untuk membantu anak memahami setiap pencapaian memerlukan usaha, manakala kegagalan bukan alasan untuk berputus asa.
Pujian terhadap usaha dan keberanian mencuba lebih bermakna daripada hanya menilai keputusan. Sikap positif ini dapat membina ketahanan diri, kesediaan menghadapi cabaran dan semangat untuk terus belajar.
Akhirnya, pendidikan yang berkesan bukan sekadar melahirkan kanak-kanak yang cemerlang dalam akademik tetapi membentuk individu yang yakin, berakhlak dan mampu menghadapi kehidupan.
Kerjasama ibu bapa dan guru amat penting bagi memastikan setiap pengalaman menjadi peluang untuk mereka berkembang dan mencapai potensi terbaik. –UTUSAN
N.V. SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Kanan,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)











