Pilihan raya kampus melahirkan pemimpin negara

Pilihan raya kampus melahirkan pemimpin negara

PILIHAN raya kampus menjadi medan membentuk pemimpin masa depan yang berintegriti dan bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI bukan sekadar tempat menimba ilmu dan melahirkan graduan berkelayakan akademik. 

Institusi pendidikan tinggi (IPT) turut menjadi makmal kehidupan yang menyediakan ruang untuk mahasiswa membentuk karakter, mengasah kemahiran insaniah dan belajar memimpin. 

Dalam konteks ini, pilihan raya kampus mempunyai peranan lebih besar daripada memilih barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Ia menjadi medan latihan demokrasi, kepimpinan dan pembinaan jati diri generasi muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pilihan raya kampus merupakan sebahagian daripada pendidikan tidak formal yang melengkapkan pembelajaran di bilik kuliah. Melalui pengalaman berkempen, membentangkan manifesto, berinteraksi dengan pengundi, berdebat dan menerima keputusan pemilihan, mahasiswa belajar memahami realiti kepimpinan secara langsung. 

Pengalaman sebegini penting kerana kepimpinan bukan sekadar teori, sebaliknya kemahiran yang perlu dipelajari, diuji dan diamalkan.

Persekitaran kampus memberi peluang kepada mahasiswa mengurus organisasi, merancang program, menyelesaikan konflik, berunding serta membuat keputusan yang melibatkan kepentingan ramai. Pengalaman ini menjadi latihan awal sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan dan masyarakat.

Pilihan raya kampus turut mengajar kepimpinan memerlukan sokongan, kepercayaan dan mandat. Wakil pelajar tidak boleh bertindak mengikut kepentingan sendiri, sebaliknya perlu memahami aspirasi dan kebajikan mahasiswa. 

Nilai empati, tanggungjawab serta keutamaan terhadap kepentingan bersama perlu dibentuk sejak di bangku universiti.

Kemenangan bukan ukuran tunggal kejayaan seseorang calon. Kejujuran ketika berkempen, ketelusan menyampaikan manifesto dan kesediaan mematuhi peraturan lebih mencerminkan kualiti kepimpinan. Manifesto juga perlu realistik dan mengambil kira kemampuan untuk dilaksanakan, bukannya sekadar janji untuk meraih undi.

Mahasiswa perlu memahami amanah bukan keistimewaan untuk mendapatkan kedudukan, tetapi tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Mereka juga harus belajar menerima kekalahan dengan terbuka serta menghormati keputusan majoriti. Kematangan pemimpin terserlah apabila perbezaan pilihan tidak menjadi alasan untuk bermusuhan.

Pilihan raya kampus menjadi ruang melatih mahasiswa menyampaikan idea, mempertahankan pendirian dan membincangkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi. Namun, kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab.

Budaya politik mahasiswa tidak seharusnya dipenuhi serangan peribadi, fitnah atau provokasi. Sebaliknya, perbezaan pandangan perlu diraikan melalui hujah berasaskan fakta, kritikan membina dan perbincangan matang. 

Dalam era media sosial, mahasiswa juga perlu menggunakan platform digital secara beretika serta mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.

Jawatan dalam MPP bukan lambang populariti, sebaliknya amanah untuk berkhidmat kepada komuniti mahasiswa. Pemimpin pelajar perlu bersedia meluangkan masa, tenaga dan idea bagi menyelesaikan masalah serta memperjuangkan kebajikan rakan mereka.

Pengalaman mengurus organisasi turut membina kemahiran kerja berpasukan, penyelesaian masalah, pengurusan sumber dan komunikasi. Semua kemahiran ini menjadi aset apabila mahasiswa memasuki alam pekerjaan dan masyarakat.

Negara memerlukan pemimpin yang bukan sahaja berilmu tetapi berintegriti, berwawasan, matang dan mampu memahami keperluan masyarakat. Ciri-ciri tersebut tidak terbentuk secara spontan apabila seseorang memegang jawatan tinggi. Ia perlu dipupuk melalui pengalaman dan latihan sejak awal.

Justeru, universiti perlu menyediakan ekosistem demokrasi kampus yang sihat, inklusif dan bertanggungjawab. MPP pula perlu diberikan ruang menjadi rakan strategik dalam memahami isu mahasiswa serta mengemukakan penyelesaian yang praktikal. 

Pada masa sama, mahasiswa yang tidak terpilih juga perlu digalakkan terus menyumbang melalui persatuan, kelab dan aktiviti kesukarelawanan.

Akhirnya, pilihan raya kampus ialah pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negara. Setiap kempen, manifesto, undi dan keputusan yang diterima menjadi sebahagian daripada proses membentuk kematangan mahasiswa.

Kita tidak mahu universiti hanya melahirkan graduan yang cemerlang akademik tetapi gagal mengurus manusia, membuat keputusan dan memimpin perubahan. 

Pemimpin negara masa depan mungkin sedang belajar memimpin persatuan, berkempen atau menggalas amanah sebagai wakil mahasiswa hari ini. Universiti ialah makmal kehidupan yang menyediakan asas untuk membina pemimpin dan menentukan masa depan negara. –UTUSAN

PROFESOR DR. ABDUL RASID ABDUL RAZZAQ dan  DR. ANIM ZALINA AZIZAN

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini