PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan tinggal bersama ahli keluarga terdekatnya iaitu isteri, anak, menantu dan cucu sepanjang beliau menjalani tahanan di rumah namun hanya menerusi kebenaran bertulis yang diberikan.
Syarat itu merupakan antara perkara ditetapkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, syarat-syarat itu mempunyai empat perkara iaitu sekatan tempat tinggal dan pergaulan; kawalan pergerakan dan lawatan; sekatan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi serta perlu menghadiri program pemulihan dan intervensi.
“Najib juga dimaklumkan yang beliau tidak boleh berpindah ke rumah, bangunan atau premis lain. Beliau juga tidak dibenarkan keluar dari alamat ditetapkan, melainkan dengan izin bertulis.
“Bagi tujuan solat, solat Jumaat misalnya, kita akan bawa (ke masjid atau surau), selain beliau tidak dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucu, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu.
“Lembaga Pengampunan juga sebut sesiapa yang dibenarkan tinggal, orang itu boleh tinggal. Selain daripada itu, kena ada kebenaran bertulis. Tidak dibenarkan menerima tetamu melainkan dengan izin bertulis,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai syarat khusus dikenakan ke atas Najib bagi menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 dan agensi bertanggungjawab memantau pematuhan syarat itu.
Menurut Saifuddin, kesemua syarat dan empat perkara itu juga telah dibacakan kepada Najib sebelum beliau dipindahkan dari Penjara Kajang ke rumahnya di Jalan Langgak Duta.
“Itu bahagian pertama yang didatangkan dengan surat Lembaga Pengampunan. Kemudian (Jabatan) Penjara juga dibenarkan mengenakan syarat-syarat untuk menyediakan kawalan dan selian juga arahan dan tatacara.
“Semua itu sudah dibaca kepada Datuk Seri Najib Razak sebelum dipindahkan daripada penjara ke Jalan Langgak Duta,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu, disebut dengan jelas berkenaan lokasi tahanan iaitu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan kuasa Menteri Dalam Negeri melalui Seksyen 3, Akta Kementerian Dalam Negeri untuk mewartakan premis tersebut.
Beliau berkata, antara syarat lain dikenakan adalah Najib tidak dibenarkan menggunakan telefon selain daripada didaftarkan oleh Jabatan Penjara.
“Tidak dibenarkan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi selain daripada yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara untuk tujuan mengesahkan berada di rumah apabila dihubungi.
“Tidak boleh juga menyebabkan atau mendedahkan diri dalam mana-mana liputan media atau platform media sosial. Tidak boleh buat sebarang kenyataan atau ulasan dalam mana-mana liputan media.
“Tak boleh juga melibatkan diri dalam mana-mana majlis keramaian, jauh sekali untuk melibatkan diri dalam aktiviti politik. Hal-hal ini merupakan syarat-syarat dalam Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau berkata, syarat itu bukan hanya dibuat khusus kepada Najib sebaliknya sebagai persiapan bagi menghadapi sebarang kes sama di masa depan.
Dalam pada itu, kata Saifuddin, Najib akan dikembalikan ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara yang ditentukan jika syarat-syarat telah ditetapkan itu dilanggar.
“Itu jelas dalam syarat dan kita memperincikan dalam arahan dan tatacara. Jadi, kita sudah menjangkakan perkara-perkara seperti itu. Prinsipnya adalah syarat-syarat diberikan, langgar, segera dibatalkan dan dikembalikan ke penjara,” katanya.-UTUSAN.











