ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah tidak gentar berdepan cabaran calon muda Pakatan Harapan (PH), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah yang merupakan juara pidato antarabangsa.
Ini kerana Rosli yakin rekod kerja selama empat tahun menjadi senjata paling ampuh untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Penyandang kerusi itu berkata, beliau tidak mahu membalas cabaran politik dengan retorik semata-mata, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri sejauh mana amanah yang diberikan kepadanya sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 telah dilaksanakan.
Pada PRN Melaka kali ini, Rosli berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Muhammad Mukhlisul Mubin dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr. Nur Farhana Hamzah.
Bagi Rosli, kekuatan seseorang calon bukan sekadar kehebatan berpidato atau kemampuan menyampaikan kata-kata di atas pentas, sebaliknya rakyat yang menentukan siapa yang mampu bekerja dan membawa perubahan kepada kawasan.
“Kalau sepanjang saya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri saya tidak melaksanakan tugas dengan baik dan tidak menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, mereka berhak menghukum saya.
“Namun, alhamdulillah, saya percaya rakyat boleh melihat sendiri usaha dan kerja yang telah kita lakukan selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rosli berkata, beliau tidak memandang rendah terhadap mana-mana calon kerana setiap individu mempunyai kekuatan dan pendekatan tersendiri dalam memikat hati pengundi.
Katanya, pilihan raya bukan sekadar gelanggang untuk membuat janji atau melontarkan kata-kata yang sedap didengar, sebaliknya medan rakyat menilai rekod perkhidmatan dan keupayaan calon menyelesaikan masalah.
Beliau yang lebih selesa dipanggil ‘Cikgu’ berkata, pendekatan turun padang dan hidup dekat dengan masyarakat akan terus menjadi prinsipnya andai diberikan mandat untuk penggal baharu.
“Saya lebih selesa dipanggil Cikgu kerana itu diri saya. Jawatan adalah sementara dan kita tidak boleh lupa siapa diri kita apabila diberikan kedudukan.
“Kalau jawatan menyebabkan kita jauh daripada rakyat dan lupa diri, akhirnya semua itu tidak membawa apa-apa makna,” katanya.
Mengulas agenda yang mahu diteruskan di Kuala Linggi, Rosli berkata, kebajikan masyarakat nelayan akan kekal menjadi keutamaan kerana golongan itu berdepan cabaran besar untuk mencari rezeki.
Katanya, tidak seperti pekerjaan lain yang mempunyai pendapatan lebih tetap, nelayan bergantung kepada hasil laut dan cuaca, malah ada kalanya terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas mengeluarkan kos minyak dan tenaga.
“Sebab itu kita tidak boleh hanya melihat mereka ketika musim pilihan raya. Kebajikan dan kehidupan nelayan perlu sentiasa diperjuangkan,” katanya.











