Rundingan perdagangan, pelaburan Malaysia-Taiwan diteruskan

Rundingan perdagangan, pelaburan Malaysia-Taiwan diteruskan

DATUK Seri Johari Abdul Ghani berucap merasmikan pelancaran Aplikasi mudah alih Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputera versi 3.0 di Dewan Perdana Menara MITI semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Taiwan akan meneruskan rundingan perdagangan serta pelaburan seperti biasa tanpa sebarang sekatan, sekali gus mencerminkan kesinambungan hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia dan Taiwan masih menjalin hubungan secara berkala, termasuk menerusi perbincangan dengan pihak kedutaan berhubung kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Katanya, hubungan perdagangan antara kedua-dua pihak juga berjalan seperti biasa, termasuk aktiviti eksport dan import.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malaysia sudah lama berhubung dengan Taiwan. Kita menghormati dasar Satu China (One-China Policy) sejak 1974, namun perdagangan dengan Taiwan diteruskan seperti biasa.

“Tiada masalah dari segi perdagangan dan pelaburan Taiwan di Malaysia setakat ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran aplikasi mudah alih Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputera (SPSKB), di sini, semalam.

Mengulas laporan bahawa Taiwan mengesahkan hasrat untuk menggantung rundingan berkenaan, Johari menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa pihak berkenaan hanya menyatakan perkara tersebut akan dibincangkan. 

Jelasnya, Malaysia dan Taiwan mempunyai perjanjian yang ditandatangani pada 1993 dan kedua-dua pihak bersedia meneruskan perbincangan berkaitan perdagangan serta pelaburan.

“Jika kita tidak mendengar pandangan mereka, kita tidak akan dapat berunding. Mereka menyatakan kesediaan untuk berunding dan kita juga mempunyai pendirian sama.

“Selagi saya berada di sini, saya akan terus menyokong usaha berkenaan,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan Taiwan mengesahkan penangguhan rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia pada Oktober lalu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei dilaporkan berkata, keputusan itu mengambil kira aspek kedaulatan dan keselamatan ekonomi Taiwan serta bertujuan melindungi hak dan kepentingan pelaburnya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Anwar sebagai ‘tidak mesra’ dan berpotensi menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia.

Bagaimanapun, Taiwan menyatakan kesediaan untuk terus berhubung dengan Malaysia dan berharap rundingan berkenaan dapat disambung semula.

Dalam pada itu, Anwar ketika menjawab isu berkenaan di Dewan Rakyat juga menegaskan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Taiwan tidak terjejas, dengan jumlah perdagangan kedua-dua pihak mencecah RM254.21 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026. 

Beliau turut menjelaskan mesyuarat yang ditangguhkan itu membabitkan Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi, bukannya keseluruhan rundingan perdagangan dan pelaburan dua hala, selain memaklumkan kerajaan sudah meminta supaya mesyuarat berkenaan disambung semula.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini