PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka sederhana kepada 4.6 peratus pada 2027 berbanding 5.2 peratus tahun ini mencerminkan prospek pertumbuhan negara yang lebih perlahan dalam persekitaran ekonomi global mencabar.
Moody’s Ratings turut menjangkakan inflasi Malaysia kekal terkawal pada 2.1 peratus tahun depan, berbanding dua peratus pada tahun ini.
“Prospek stabil bagi pasaran sedang pesat membangun (EM) pada 2027, disokong kitaran pelaburan yang kukuh, permintaan komoditi berterusan serta penyusunan semula rantaian bekalan global.
“Pertumbuhan ekonomi negara utama dalam kelompok EM dijangka kekal sederhana dan stabil, meskipun prestasi setiap negara berbeza mengikut keberkesanan dasar kerajaan serta kekuatan aktiviti pelaburan,” katanya dalam laporan itu.
Di rantau Asia Pasifik, pertumbuhan ekonomi pasaran sedang pesat membangun diunjur sederhana kepada 4.7 peratus pada 2027 berbanding 4.9 peratus pada 2026.
Menurut laporan prospek pasaran sedang pesat membangun 2027, kerajaan, syarikat dan sektor perbankan negara berkenaan berjaya mengharungi ketidaktentuan akibat tarif, pertikaian geopolitik serta harga tenaga tinggi sepanjang 2026 tanpa kemerosotan ketara dalam kualiti kredit keseluruhan.
Bagaimanapun, Moody’s memberi amaran bahawa kadar faedah lebih tinggi, peningkatan kos tenaga dan ketidaktentuan perdagangan berterusan akan menyebabkan perbezaan prestasi kredit antara negara dan sektor semakin ketara.
Moody’s berkata, pelaburan dalam infrastruktur digital, rangkaian elektrik dan elektrifikasi akan terus menyokong permintaan terhadap komoditi tertentu dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Malaysia dikenal pasti sebagai antara pasaran sedang pesat membangun yang mencatatkan tumpuan pelaburan awal dalam infrastruktur digital, selain China, India, Brazil, Indonesia dan Mexico.
“Bagaimanapun, sebahagian projek infrastruktur digital mungkin berdepan kesukaran menjana pulangan mencukupi sekiranya permintaan terhad atau kekangan kesalinghubungan menjejaskan pelaksanaannya,” katanya.
Dalam sektor tenaga, Malaysia turut disenaraikan sebagai antara negara pengeluar minyak dan gas yang berpotensi mendapat manfaat daripada permintaan tenaga berterusan serta harga yang kekal tinggi sehingga pasaran kembali normal.
Sementara itu, Moody’s menjangkakan harga minyak mentah kekal tinggi dan tidak menentu dengan purata sekitar AS$90 (RM367.02) setong pada 2027.
Moody’s berkata, keadaan kredit kerajaan negara sedang pesat membangun di Asia Pasifik semakin stabil menjelang 2027, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, kesinambungan pelaburan sektor awam dan swasta serta keupayaan lebih baik menyerap kejutan ekonomi.
Dalam pada itu, penyusunan semula rantaian bekalan global dijangka terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara sedang pesat membangun terpilih apabila syarikat berusaha mempelbagaikan lokasi pengeluaran serta memperkukuh keselamatan bekalan.-UTUSAN











