PH seru pengundi keluar awal, elak hujan petang - Utusan Malaysia

PH seru pengundi keluar awal, elak hujan petang

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Para pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 diseru keluar menunaikan tanggungjawab awal pagi pada Sabtu ini, bagi mengelak kemungkinan hujan pada sebelah petang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, cuaca terkini yang menyaksikan hujan pada sebelah petang boleh menyukarkan pergerakan ke pusat pengundian.

Menurutnya, keluar mengundi lebih awal juga dapat membantu melancarkan perjalanan proses pengundian pada 14 November ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tahu buat masa ini, biasanya pada sebelah petang kita akan menghadapi keadaan cuaca yang tidak berapa baik, hujan dan sebagainya.

“Jadi, memang kita menggalakkan pengundi, tidak kira anak muda atau dewasa, supaya keluar mengundi lebih awal kerana halangan pada sebelah petang biasanya adalah hujan.

“Kalau mereka mempunyai peluang untuk mengundi lebih awal, itu lebih baik bagi memudahkan proses pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.

Adly berkata, golongan muda juga perlu merancang masa keluar mengundi memandangkan terdapat kecenderungan dalam kalangan mereka untuk hadir lewat.

Katanya, berdasarkan pertemuan bersama masyarakat di lapangan, secara umumnya pengundi mengetahui bahawa hari pengundian ditetapkan pada 14 November.

Beliau turut menyeru majikan di negeri ini supaya memberikan ruang kepada pekerja untuk keluar mengundi.

Katanya, perkara itu penting memandangkan setakat ini tiada pengumuman mengenai cuti khas sempena hari pengundian di Melaka.

“Kita ingin menyeru kepada majikan supaya membenarkan pekerja mereka untuk pergi mengundi.

“Di Melaka ini tidak sama dengan Johor dan Negeri Sembilan kerana di sana mereka mengumumkan hari cuti. Tetapi di Melaka, setakat ini kita tidak nampak ada pengumuman sebagai hari cuti.

“Jadi, kita menyeru majikan supaya memberikan ruang kepada pengundi untuk pergi mengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini