MELAKA: DAP meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyingkirkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan, sekiranya parti itu tidak menarik diri susulan tindakan yang didakwa mensabotaj kerajaan demi kepentingan politik.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan UMNO yang mengeluarkan kenyataan bercanggah mengikut kepentingan politik menunjukkan sikap tidak konsisten dalam menangani sesuatu isu.
Beliau berkata, UMNO seolah-olah hanya menerima undang-undang apabila ia menguntungkan mereka, sedangkan prinsip sama perlu dihormati dalam semua keadaan.
“Sudah tentu, bagi UMNO, seolah-olah tiada undang-undang yang perlu dipatuhi. Mereka hanya mengikut undang-undang sendiri. Lihat sahaja kenyataan UMNO, hari ini mereka berkata sesuatu, esok pula kenyataan berbeza, asalkan ia memenuhi kepentingan politik mereka. Saya fikir kita sudah cukup dengan semua perkara yang tidak masuk akal ini.
“Sudah tiba masanya untuk UMNO keluar daripada kerajaan. Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, saya berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menyingkirkan UMNO daripada kerajaan.
“Biarlah kami menjalankan tugas untuk mentadbir negara demi rakyat Malaysia, bukannya terus menyaksikan UMNO secara terbuka mensabotaj kerajaan sendiri dengan menggunakan sumber kerajaan untuk menjatuhkan, menggulingkan dan melemahkan kerajaan yang turut mereka anggotai,” katanya ketika ditemui selepas program Malam Harapan di Malim di sini malam tadi.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandangan adalah lebih baik Parlimen dibubarkan berbanding melaksanakan rombakan Kabinet ketika ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk mengadakan rombakan Kabinet.
“Walaupun ada seorang yang mungkin telah komited untuk meletakkan jawatan ketika sampainya Datuk Seri Najib Tun Razak ke rumah beliau bagi menjalani baki hukumannya.
“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan. Itu kita berikan mandat semula kepada rakyat dan kita bentuklah kerajaan baharu selepas itu,” katanya. – UTUSAN











