Pengutip hutang buru bekas isteri, Nubhan mohon tidak libatkan anak dan keluarga - Utusan Malaysia

Pengutip hutang buru bekas isteri, Nubhan mohon tidak libatkan anak dan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak serta keluarganya selepas mendakwa kediamannya didatangi individu yang dipercayai pengutip hutang yang mencari bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Menurut Nubhan, kejadian tersebut menimbulkan keresahan apabila urusan yang didakwa membabitkan bekas isterinya yang mesra disapa sebagai Dr. Fie itu turut memberi kesan kepada ketenteraman keluarga.

Malah, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu mengakui sebelum ini lebih berhati-hati untuk berkongsi sebarang perkara di media sosial kerana bimbang keluarganya menjadi sasaran kecaman netizen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, saya sangat risau untuk memuat naik apa-apa di media sosial kerana khuatir keluarga saya dikecam, mak saya dihina dan macam-macam lagi.

“Tetapi apabila baru-baru ini rumah saya didatangi pengutip hutang, saya berasa amat risau terhadap keselamatan anak-anak, keluarga dan diri saya,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran itu, Nubhan turut memaparkan gambar tiga individu yang dipercayai pengutip hutang berada di hadapan kediamannya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Ada Untukmu itu merayu agar mana-mana pihak yang mempunyai urusan dengan bekas isterinya tidak mengheret anak-anak mahupun ahli keluarganya dalam kemelut berkenaan.

“Memandangkan kedatangan pengutip hutang tersebut bertujuan mencari bekas isteri saya, saya mohon jasa baik agar anak-anak, keluarga dan diri saya tidak dilibatkan dalam isu ini.

“Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang demi keselamatan anak-anak dan keluarga saya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Nubhan tidak memperincikan jumlah hutang yang didakwa mahupun identiti individu yang hadir ke kediamannya.

Untuk info, Nubhan dan Dr. Fiemendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 sebelum bercerai selepas 10 tahun perkahwinan.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata.

Dr. Fie kemudiannya kembali bergelar isteri selepas selamat bernikah dengan juruterbang dan usahawan, Kapten Amrul Nizar Anuar pada 1 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini