WASHINGTON: Seorang pengawal tentera Amerika Syarikat (AS) dilihat menegur dengan keras Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth dan kumpulannya pada Hari Veteran, selepas mereka ketawa dan berbual berhampiran sebuah makam di Tanah Perkuburan Negara Arlington.
Video kejadian itu tersebar meluas di rangkaian televisyen dan media sosial AS, memaparkan Hegseth bersama sekumpulan individu yang dipercayai termasuk penasihat kanannya berkumpul untuk bergambar pada Rabu di Makam Askar Tidak Dikenali, selepas upacara memperingati Hari Veteran yang turut dihadiri Presiden, Donald Trump.
“Semua pengunjung hendaklah sentiasa menjaga suasana senyap dan menghormati tempat ini!” jerit seorang anggota pengawal Tentera Darat AS selepas bunyi ketawa dan perbualan kedengaran.
Makam Askar Tidak Dikenali merupakan tempat persemadian anggota tentera AS yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan Perang Korea.
Ia turut mempunyai sebuah kubur kosong bagi seorang anggota tentera yang terkorban dalam Perang Vietnam, sebagai penghormatan kepada anggota tentera yang hilang ketika berkhidmat untuk negara.
CNN mengenal pasti kumpulan yang bergambar di tangga berhampiran makam bersama Hegseth sebagai isterinya, Jennifer; Ketua Staf, Ricky Buria; Timbalan Ketua Staf, Patrick Weaver dan Penasihat Kanan, Tami Radabaugh.
Jurucakap kanan Pentagon, Sean Parnell memberitahu NBC News, Hegseth dan jabatan itu sentiasa menghormati pengorbanan anggota tentera.
“Ketika memperingati hari yang penuh khidmat ini, seorang anggota tentera telah bertindak dengan tepat dan penuh hormat mengingatkan semua pihak supaya menjaga tingkah laku,” katanya.
Anggota Parti Demokrat pantas mengkritik tindakan Hegseth yang dianggap mencemarkan suasana penuh penghormatan pada hari penting bagi ketenteraan AS itu.
“Hegseth terus membuktikan beliau langsung tidak layak memegang jawatan itu.
“Sehari selepas hampir terlepas daripada pemecatan, beliau menunjukkan sikap tidak menghormati anggota tentera lelaki dan wanita kita dengan mencemarkan kesucian Makam Askar Tidak Dikenali,” tulis anggota Kongres dari Wisconsin, Gwen Moore di platform X.-AFP











