KUALA LUMPUR: Barisan Nasional sehingga hari ini kekal untuk terus bersama dalam Kerajaan Perpaduan adalah bagi memastikan pentadbiran negara dapat berjalan dengan baik serta kestabilan politik terus terpelihara.
Ahli Parlimen Beaufort dari BN, Datuk Siti Aminah Aching berkata, penyertaan BN dalam kerajaan ketika ini bukan berasaskan kerjasama merentasi parti sebaliknya atas kepentingan memastikan negara ditadbir dengan baik dan aman makmur.
“Sekarang ini bukan kami yang menekan-nekan. DAP yang menekan keadaan sehingga sanggup meletak jawatan.
Kami di BN tetap dengan pendirian bahawa menjadi sebahagian daripada kerajaan untuk mentadbir negara itu penting. Kami membantu kerajaan sekarang atas dasar kepentingan negara dan titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mencabar mana-mana Ahli Parlimen BN yang tidak berpuas hati atau mengkritik kepimpinan Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan dalam Kabinet dan keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Senada, Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, BN berada dalam Kerajaan Perpaduan adalah atas titah Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO-Barisan Nasional ini memang menjunjung titah. Jadi sebab titah itu kita berada dalam Kerajaan Perpaduan dan sekiranya ada yang sebaliknya, perlulah yang sebaliknya juga dititahkan kepada kami,” katanya.
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa pula berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menyingkirkan pemimpin BN daripada barisan Kabinet.
Katanya, keyakinan beliau itu berdasarkan kecenderungan rakyat yang dilihat tidak menyokong kerajaan hari ini.
“Kalau hendak cabar mencabar, terpulanglah kepada kerajaan hari ini untuk menentukannya sama ada nak mengeluarkan BN daripada kerajaan atau tidak.
“Namun bagi saya selaku seorang ahli Parlimen,saya menurut keputusan parti tetapi bagi saya sudah sampai masa kita serahkan mandat kepada rakyat.
“Tetapi saya yakin kerajaan hari ini tidak akan buat begitu kerana mereka tahu mereka akan kalah,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN









