JAKARTA: Pengerusi Projo, sebuah organisasi sukarelawan pro-Jokowi, Budi Arie Setiadi mengesahkan peletakan jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden Indonesia.
“Benar,” katanya ringkas ketika diminta mengulas perkara itu di Jakarta pada Rabu.
Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Saan Mustopa berkata, usul menggunakan hak menyatakan pendapat (HMP) oleh anggota Parlimen berhubung kedudukan Gibran akan dibawa ke sidang pleno yang dijadual berlangsung Khamis.
“Kami akan mengemukakan usul itu dalam sidang pleno esok,” katanya di bangunan Parlimen hari ini.
Lapor Antara, seramai 120 anggota DPR mengemukakan usul menggunakan hak berkenaan sebagai sebahagian daripada proses penyingkiran Gibran, yang didakwa tidak lagi layak memegang jawatan Naib Presiden Indonesia.
Daripada jumlah itu, 14 anggota mewakili PDI Perjuangan, 11 Golkar, 11 Gerindra, 19 NasDem, 18 PKB, 28 PKS, seorang PAN dan 18 Parti Demokrat.
Pada Selasa, Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi memaklumkan Gibran menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan kepada Presiden, Prabowo Subianto dalam pertemuan selama dua setengah jam.
Gibran menyuarakan hasrat itu ketika berdepan cabaran undang-undang di Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung berhubung dokumen pendidikannya.
“Dalam perbincangan itu, Naib Presiden menyatakan hasrat untuk berundur susulan perkembangan situasi semasa,” kata Prasetyo.
Beliau berkata, pihak Istana menghormati proses politik di Parlimen berhubung penggunaan hak berkenaan.
“Sudah tentu, proses politik itu perlu dihormati oleh kita semua,” katanya.
Menurut Prasetyo, DPR dan anggota-anggotanya berhak menggunakan pelbagai kuasa yang diperuntukkan bagi melaksanakan tugas serta fungsi sebagai badan perundangan.
“Bagaimanapun, DPR dan anggota-anggotanya mempunyai hak masing-masing,” katanya.











