MELAKA: Pembangunan Pantai Puteri di sini menjadi pemangkin ekonomi komuniti setempat menerusi penyediaan kemudahan rekreasi dan perniagaan lebih tersusun, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan itu kepada pengunjung.
Perancangan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan awam, malah memastikan kira-kira 150 peniaga sedia ada terus mempunyai peluang menjana pendapatan selepas kerja penambakan pantai selesai.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, kerja penambakan pantai dijangka siap menjelang akhir tahun ini sebelum penyusunan semula gerai dilakukan.
Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, semua 150 peniaga akan diberikan ruang untuk meneruskan perniagaan di lokasi lebih teratur sebagai sebahagian daripada usaha mengindahkan kawasan Pantai Puteri.
“Saya nak jelaskan, tidak akan ada satu gerai pun yang ditutup seperti yang diuar-uarkan kononnya apabila saya menang nanti.
“Sekarang ini keadaan mungkin agak kurang selesa kerana kerja penambakan pantai sedang dijalankan. Selepas siap hujung tahun ini, kita akan susun semula gerai mengikut perancangan.
“Saya berjanji kepada peniaga, tidak akan ada seorang pun yang tidak dapat berniaga. Insya-Allah, 150 peniaga akan disusun semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tuminah berkata, pembangunan kawasan itu turut merangkumi penyediaan kawasan riadah, tapak perkhemahan, laluan pejalan kaki dan kawasan makanan bagi mewujudkan persekitaran lebih menarik serta selesa kepada pengunjung.
Katanya, kemudahan berkenaan diharap dapat memperkukuh tarikan Pantai Puteri sebagai lokasi rekreasi, selain membuka ruang kepada perkembangan aktiviti perniagaan penduduk setempat.
Beliau berkata, antara kemudahan yang sudah dilaksanakan sepanjang tempoh menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor adalah pemasangan lampu di sepanjang kawasan pantai.
“Sejak saya menjadi ADUN di sini, kita dapat memasang lampu di sepanjang pantai. Itu antara perancangan yang sudah dilaksanakan dalam pelan pembangunan Pantai Puteri.
“Kita juga mahu meneruskan pembangunan yang sudah dirancang supaya kawasan ini menjadi lebih cantik dan selesa,” katanya.
Tuminah berkata, gagasan Melaka Sayang Rakyat (Mesra) bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi penyaluran bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan, termasuk warga emas dan pesakit kronik.
Katanya, maklum balas penduduk menunjukkan inisiatif berkenaan memberi kesan kepada kehidupan rakyat, khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan bantuan.
“Jika ada rakyat yang sakit, kita tidak menunggu lama untuk menyalurkan bantuan sewajarnya sebelum ini dan alhamdulillah boleh dikatakan rata-ratanya telah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Tuminah berkata, beliau akan terus memberi tumpuan untuk bertemu seramai mungkin pengundi dalam tempoh berbaki dua hari sebelum pengundian pada 14 November ini.
Beliau berharap sokongan pengundi di Pantai Kundor dapat diterjemahkan pada hari pengundian bagi membantu BN mempertahankan kerusi berkenaan. – UTUSAN











