PGA serbu gudang campur daging ayam, babi

PGA serbu gudang campur daging ayam, babi, nilai rampasan RM2.5j

Awang Arfian Awang Bujang (dua dari kiri) menunjukkan daging babi sejuk beku dalam operasi Op Salju Mega oleh Batalion 5 PGA di premis Sheng Frozen, Kawasan Perindustrian Sri Kulai, Johor semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Tindakan pembekal yang mencampurkan daging babi dan ayam termasuk import dari Brazil, China dan Thailand dalam satu gudang sejuk beku di Jalan Perak, Kawasan Perindustrian Sri Kulai, dekat sini mengundang padah apabila dikenakan tindakan sitaan.

Komander Briged Tengah Pa­sukan Gerakan Am (PGA) Bata­lion 5, Senior Komisioner Awang Arfian Awang Bujang berkata, dalam serbuan Ops Salju Mega itu, pihaknya merampas 42,520 kilogram (kg) daging babi sejuk beku dan 6,528 kg daging ayam sejuk beku.

Beliau berkata, rampasan itu dilakukan susulan operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor melakukan Ops Salju Mega pada pukul 7 pagi, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kegiatan pengilang tersebut yang beroperasi tanpa lesen dipercayai dijalankan sejak dua tahun lalu terbongkar selepas orang awam membuat aduan setelah merasa curiga akan aktiviti mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menyimpan dan memproses makanan sejuk beku, tahap kebersihan premis tidak memenuhi piaiwaian yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di gudang tersebut semalam.

Turut hadir Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen Johor, Senior Komisioner Zailani Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas dua lori, sebuah kereta, sebuah jentera pengangkat elektrik serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan memotong makanan sejuk beku di premis tersebut.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,508,700.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan yang merupakan majikan bersama 10 pekerja a­singnya diperiksa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini