Najib sihat, gembira dapat ‘pulang’ Langgak Duta

Najib sihat, gembira dapat ‘pulang’ Langgak Duta

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa lega dan bersyukur kerana akhirnya dapat kembali ke kediamannya di Langgak Duta, di sini untuk menjalani tahanan rumah.

Anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib berkata, buat masa ini keadaan bekas Perdana Menteri itu dalam keadaan baik dan sihat selepas tiba di Langgak Duta di sini kelmarin.

“Alhamdulillah, Datuk Seri (Najib) gembira, lega dan bersyu­kur akhirnya dapat jalani tahanan rumah di Langgak Duta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sudah melawat Daddy tadi, beliau dalam keadaan baik dan sihat serta masih menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) lawatan, katanya, ahli keluarga juga dibenarkan melawat Najib namun tertakluk kepada waktu-waktu tertentu.

Beliau turut meluahkan rasa syukur dengan perkembangan tersebut selepas Najib melalui pelbagai proses dan dugaan berikutan diperkenan pengampunan bersyarat pada 18 September 2026.

“Ada waktu-waktu tertentu dibenarkan untuk melawat Daddy, kami bersyukur,” katanya.

Difahamkan, waktu melawat Datuk Seri Najib Razak bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam

Bekas Perdana Menteri tiba di kediamannya di Taman Duta, di sini, pada pukul 9.27 malam kelmarin bagi menjalani baki hukuman penjara.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibawa dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak dengan diiringi beberapa kenderaan daripada Jabatan Penjara serta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Najib meninggalkan Mah­kamah Tinggi pada 5.24 petang bagi mengikuti prosiding permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula dan meneliti perintah pelepasan yang dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilaporkan berkata, Najib perlu dibawa semula ke Penjara Kajang bagi membolehkan beberapa syarat berkaitan tahanan rumah dibacakan serta diterangkan kepadanya.

Pada September lalu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn. Bhd. secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini