Lembah Klang tidak serap air

Lembah Klang tidak serap air

masalah banjir turut diburukkan dengan keadaan longkang yang tersumbat akibat sisa sampah sarap dan bahan binaan sehingga mengurangkan kapasiti sistem saliran ketika hujan lebat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 90 peratus permukaan di kawasan Lembah Klang ditutupi ba­ngunan dan jalan raya sehingga menyebabkan air hujan gagal meresap ke dalam tanah.

Keadaan tersebut mengurangkan keupayaan tanah menyerap air secara semula jadi menyebabkan air hujan menga­lir terus ke sistem perparitan dan sungai sekali gus meningkatkan risiko limpahan air dan banjir kilat.

Pakar Hidrologi dan Pemodelan Banjir, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, ke­adaan itu menjadi lebih kritikal apabila pembangunan tidak di­sertai peningkatan kapasiti sistem perparitan yang sepadan dengan perubahan guna tanah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di Lembah Klang, penurapan permukaan berlaku secara sangat intensif menyebabkan air hujan tidak lagi meresap ke dalam ta­nah, sebaliknya 90 peratus menjadi air larian permukaan yang mengalir dengan pantas ke sistem saliran.

“Pada masa sama, kebanyakan sistem saliran mikro seperti longkang dan parit di kawasan perumahan serta komersial direka sejak puluhan tahun lalu dan tidak mampu menampung peningkatan mendadak jumlah air larian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, ma­salah banjir turut diburukkan dengan keadaan longkang yang tersumbat akibat sisa sampah sarap dan bahan binaan sehingga mengurangkan kapasiti sistem saliran ketika hujan lebat.

Beliau berkata, perubahan iklim turut mempengaruhi corak hujan yang semakin ekstrem dalam tempoh singkat sekali gus memberikan tekanan tambahan kepada infrastruktur tebatan banjir.

Menurutnya, reka bentuk kejuruteraan projek tebatan banjir terdahulu bergantung kepada data hidrologi ketika itu, terma­suk penggunaan konsep Selang Ulangan Purata (ARI) 100 tahun.

“Perubahan iklim global menyebabkan corak hujan kini berubah menjadi hujan ekstrem singkat iaitu taburan hujan sebu­lan boleh turun dalam tempoh satu hingga dua jam sahaja.

“Infrastruktur sedia ada kini beroperasi melebihi had kapasiti maksimum disebabkan kepesatan pembangunan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan tidak boleh bergantung kepada pembinaan infrastruktur fizikal semata-mata sebaliknya perlu menggabungkan pendekatan bukan struktur dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Antaranya, beliau mencadangkan pelaksanaan konsep Bandar Span atau Sponge City yang membolehkan kawasan bandar menyerap, menyimpan dan menapis air hujan secara semula jadi sebelum mengalirkannya ke sistem saliran.

Selain itu, katanya, penguatkuasaan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga perlu diperkukuh dalam setiap projek pembangunan baharu.

Bagi langkah jangka panjang, Mohd. Ekhwan berkata, kerajaan perlu mewartakan dan memulihara zon penyangga hijau termasuk kawasan tadahan air, tanah lembap serta hutan simpan bandar yang berfungsi sebagai penyerap air semula jadi.

Pensyarah Sumber Air dan Sistem Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Wardah Tahir pula berkata, perubahan kawasan berhutan dan tanah lapang kepada kawasan perumahan, perindustrian serta jalan raya meningkatkan permukaan tidak telap air, sekali gus mempercepatkan ali­ran air hujan ke sistem saliran.

“Perubahan ini boleh me­ningkatkan kadar aliran puncak, memendekkan masa tumpu­an dan menyebabkan sistem saliran menerima aliran yang lebih besar dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Beliau berkata, penilaian pembangunan baharu perlu mengambil kira keseluruhan lembangan sungai bagi mengenal pasti kesan terhadap kawasan hilir.

“Penilaian projek secara berasingan mungkin tidak menggambarkan kesan terkumpul, khususnya apabila beberapa pembangunan dilaksanakan dalam satu kawasan tadahan sungai.

“Pembangunan baharu juga perlu menyediakan kemudahan takungan air hujan seperti On-Site Detention (OSD), kolam takungan dan infrastruktur hijau bagi mengurangkan serta melambatkan aliran air puncak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Save KL, Datuk M. Ali berkata, perbelanjaan RM22 bilion untuk projek tebatan banjir tidak akan memberikan hasil optimum sekiranya pembangunan bandar terus diluluskan tanpa mengambil kira kapasiti sistem saliran serta pemuliharaan kawasan hijau.

Katanya, negara merekodkan kerugian akibat banjir sebanyak RM636.9 juta pada tahun lalu sedangkan kerajaan membelanjakan berbilion untuk projek tebatan banjir termasuk di Lembah Klang.

Beliau menegaskan pemba­ngunan pesat termasuk pene­bangan pokok, kehilangan kawasan hijau dan penurapan tanah lapang dengan konkrit menyebabkan kawasan bandar semakin terdedah kepada risiko banjir.

Menurut beliau, pembangunan sepatutnya dilaksanakan secara mampan dan seimbang dengan keupayaan infrastruktur sedia ada, khususnya sistem perparitan yang perlu mampu menampung peningkatan aliran air ketika hujan lebat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini