Usaha keluarga 54 rakyat Malaysia di Nepal-Tibet diteruskan

Usaha keluarga 54 rakyat Malaysia di Nepal-Tibet diteruskan

KERJA-kerja mencari dan menyelamat ditingkatkan selepas banjir kilat melanda Pusat Trishuli di daerah Nuwakot, Nepal.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir besar di kawasan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu meneruskan usaha mendapatkan kepastian mengenai nasib ahli keluarga mereka meskipun sudah 77 hari berlalu.

Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) berkata, masih terdapat beberapa persoalan yang belum terjawab, khususnya berkaitan status kehilangan, implikasi perundangan, dokumentasi, pengurusan harta serta tanggungan kewangan keluarga terlibat.

Menurutnya, walaupun beberapa perkembangan positif dicapai termasuk kelulusan bantuan khas RM10,000 secara sekali bayar kepada setiap keluarga, perkara berkenaan masih memerlukan penjelasan dan tindakan lanjut pihak berkuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua 54 rakyat Malaysia berkenaan masih berstatus hilang. Sehingga kini, keluarga masih menantikan kepastian, jawapan dan perkembangan sewajarnya daripada pihak berkuasa,” katanya.

Tambah MASFIH, pihaknya turut mengemukakan beberapa perkara penting kepada Raja Puan Muda Kedah, termasuk status mangsa, kebajikan keluarga, perlindungan kewangan serta cadangan mengadakan lawatan kemanusiaan ke lokasi berkaitan di Nepal-Tibet.

Pertemuan itu berlangsung selepas Raja Puan Muda Kedah berkenan menerima menghadap wakil MASFIH bersama ahli keluarga mangsa bagi mendengar sendiri perkembangan, kesulitan dan harapan mereka.

“Daripada keseluruhan 54 rakyat Malaysia yang masih hilang, 42 individu menyertai ziarah keagamaan ke Gunung Kailash, manakala 12 lagi mengikuti aktiviti pendakian,” katanya.

MASFIH berkata, pihaknya turut membangkitkan perkembangan operasi mencari dan menyelamat serta kerja-kerja pemulihan, selain keperluan bantuan kebajikan dan kewangan bagi keluarga terlibat.

Menurutnya, perhatian dan sokongan moral daripada pelbagai pihak amat bermakna kepada keluarga yang masih berhadapan dengan ketidakpastian selepas kehilangan ahli keluarga tersayang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini