KUANTAN: Ketika kebanyakan ibu berpeluang berehat selepas selesai menguruskan anak-anak pada waktu malam, Nurma Lissa Ruzalani, 35, perlu bersiap untuk mencari rezeki dengan menjual burger bagi memastikan keluarganya terus mempunyai sumber pendapatan.
Sejak suaminya, Kamal Ridzuan Mamat, 39, terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di kawasan Gebeng 17 Januari lalu, tanggungjawab menyara keluarga yang sebelum ini dipikul bersama kini terpaksa digalas sepenuhnya olehnya.
Lebih memilukan, Kamal yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki sehingga sebahagian tulangnya sepanjang tujuh sentimeter terpaksa dibuang akibat mengalami kematian tisu tulang.
Nurma Lissa berkata, suaminya kini perlu menjalani rawatan susulan dan menggunakan besi pada bahagian luar kaki berkenaan yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun, bergantung kepada perkembangan pertumbuhan tulang.
Menurutnya, keadaan suaminya pada awalnya begitu membimbangkan apabila doktor pernah mencadangkan supaya kaki berkenaan dipotong, namun dia tidak bersetuju dan berharap anggota badan itu masih dapat diselamatkan.
“Doktor ada beritahu kalau tulang tidak tumbuh, tempoh rawatan mungkin perlu dilanjutkan. Keadaan kaki suami juga mungkin tidak akan kembali seperti biasa dan berkemungkinan menjadi pendek sebelah,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Menurut Lissa, sejak kemalangan, suaminya kerap keluar masuk hospital dan sudah menjalani lapan pembedahan.
Mereka yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank nombor 156094282680 atas nama Nurma Lissa Ruzalani. – UTUSAN











