Media sosial bantu pelakon kekal relevan – Khayrisyah Kemal - Utusan Malaysia

Media sosial bantu pelakon kekal relevan – Khayrisyah Kemal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Khayrisyah Kemal mengakui media sosial memainkan peranan penting dalam membantu penggiat seni mengekalkan populariti dan terus dekat dengan peminat, terutama ketika kurang menerima tawaran lakonan.

Khayrisyah, 23, berkata, keaktifan seseorang anak seni di platform digital turut menjadi antara aspek yang diberi perhatian pihak industri kerana ia memudahkan mereka dikenali dan diingati.

Menurutnya, dia sendiri tidak pernah menganggap kehadiran di media sosial sebagai sesuatu yang membebankan, sebaliknya melihatnya sebagai satu medium untuk terus mengekalkan hubungan dengan peminat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang dalam industri juga melihat jumlah pengikut kerana ia memudahkan orang ramai mengingati seseorang pelakon. Apabila kita aktif dalam media sosial dan pelbagai platform, orang lebih mudah mengenali siapa kita.

“Saya sendiri tidak kisah orang mahu menggelarkan saya dengan apa-apa gelaran sekalipun, asalkan tidak membawa perkara negatif atau menimbulkan fitnah. Saya okey sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon filem Kacau ini berkata, minatnya terhadap bidang lakonan tidak pernah luntur meskipun pernah melalui tempoh tanpa tawaran penggambaran.

Mengulas perkembangan industri perfileman tempatan, pelakon itu turut menyifatkan perubahan yang berlaku sejak dia mula berkecimpung dalam bidang seni sebagai sesuatu yang cukup ketara, khususnya dari segi pengurusan produksi dan penggunaan teknologi.

Katanya, kebanyakan produksi kini dilihat lebih tersusun dan profesional, selain dilengkapi kemudahan serta peralatan penggambaran yang lebih moden.

“Ketika saya masih kecil dahulu, keadaan produksi agak kurang teratur. Sekarang, saya melihat kebanyakan produksi sudah lebih profesional dan semuanya lebih lengkap, walaupun bajet tidak begitu besar.

“Saya juga dapat melihat industri semakin berkembang. Dari segi pencahayaan dan kamera, saya sangat kagum. Teknologi sekarang memang sangat berbeza. Ada penggambaran yang jurukamera berada di satu tempat, manakala kamera pula berada di tempat lain dan semuanya dikendalikan dari situ.

“Saya tertanya-tanya, begini rupanya cara orang menjalani penggambaran sekarang. Memang jauh berbeza jika dibandingkan dengan dahulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini