Sektor penjagaan berpotensi jadi pemacu pertumbuhan baharu - Utusan Malaysia

Sektor penjagaan berpotensi jadi pemacu pertumbuhan baharu

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kedua dari kiri), menerima Baroness Sally Greengross Award for Healthy Longevity Innovation daripada Ketua Pegawai Eksekutif Global Coalition on Aging, Michael Hodin (kiri), semasa Forum Peringkat Tinggi Ekonomi Perak 2026: Penuaan Sihat untuk Pertumbuhan Ekonomi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor penjagaan berpotensi muncul sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara menerusi peningkatan pelaburan, pewujudan peluang pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan, susulan perubahan demografi serta peningkatan populasi warga emas.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sektor berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai bidang yang memerlukan perbelanjaan besar, sebaliknya mempunyai potensi menjana pulangan ekonomi yang lebih luas melalui pelaburan dalam penjagaan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat menua.

Baginda bertitah, analisis yang dipetik dalam Kerangka Strategik Penjagaan Malaysia menunjukkan setiap ringgit yang dilaburkan dalam sektor penjagaan mampu memberikan manfaat ekonomi lebih besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Melihat populasi menua semata-mata melalui lensa perbelanjaan yang sempit bermakna kita mengabaikan modal sosial dan insan yang besar yang dapat dikekalkan melalui penuaan lebih sihat.

“Peningkatan jangka hayat penduduk membawa implikasi ekonomi yang besar, termasuk terhadap perbelanjaan penjagaan kesihatan, sistem sokongan sosial dan kewangan isi rumah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Peringkat Tinggi Ekonomi Perak 2026: Penuaan Sihat untuk Pertumbuhan Ekonomi (High-Level Forum on the Silver Economy 2026: Healthy Longevity for Economic Growth), di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut menerima anugerah Baroness Sally Greengross Award for Healthy Longevity Innovation.

Menurut baginda, perubahan demografi bukan sahaja meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan, malah membuka ruang kepada pembangunan ekonomi perak yang semakin berkembang di peringkat global.

Kajian ASEAN menganggarkan permintaan terhadap penjagaan warga emas di rantau ini akan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua dekad akan datang, sekali gus menuntut persediaan lebih menyeluruh daripada kerajaan dan sektor swasta.

“Kira-kira 12 peratus penduduk Malaysia kini berusia 60 tahun ke atas, manakala individu yang mencapai usia itu secara purata boleh menjangkakan tambahan kira-kira dua dekad kehidupan.

“Bagaimanapun, cabaran utama bukan sekadar memastikan penduduk hidup lebih lama, tetapi meningkatkan tempoh kehidupan yang dapat dinikmati dalam keadaan sihat,” titah baginda.

Sultan Nazrin menarik perhatian bahawa dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan hanya 14.7 peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas memenuhi kriteria penuaan sihat.

Keadaan itu memperlihatkan jurang antara peningkatan jangka hayat dengan kualiti kehidupan, yang sekiranya tidak ditangani boleh meningkatkan tekanan terhadap sistem kesihatan, kewangan awam dan isi rumah.

Pada masa sama, perkembangan ekonomi perak menawarkan potensi pasaran yang semakin besar apabila individu berusia 60 tahun ke atas dijangka menyumbang hampir satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan pengguna dunia dalam tempoh sedekad akan datang.

“Perkembangan itu menunjukkan peningkatan jangka hayat sedang mengubah landskap pasaran global. Namun, ekonomi perak tidak seharusnya difahami hanya sebagai pasaran baharu bagi pengguna berusia, sebaliknya sebagai penyusunan semula struktur ekonomi ke arah keterangkuman, inovasi dan kestabilan sosial,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa manfaat kehidupan lebih panjang dan sihat perlu dinikmati semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan berkemampuan.

Mengulas kedudukan ASEAN, Sultan Nazrin bertitah rantau ini berdepan perubahan demografi lebih pantas berbanding pengalaman negara maju, dengan sebahagian negara mengalami penuaan penduduk sebelum mencapai tahap kekayaan yang tinggi.

“Situasi itu mewujudkan cabaran dalam pembangunan sistem ekonomi dan sosial, namun pada masa sama memberi peluang kepada negara ASEAN membangunkan pendekatan baharu yang lebih bersesuaian dengan keperluan masyarakat menua.

“Bagi Malaysia, Kerangka Strategik Penjagaan negara menggariskan aspirasi untuk menjadikan negara sebagai hab serantau bagi perkhidmatan penjagaan jangka panjang, selain Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang memberi penekanan kepada pembangunan persekitaran mesra usia serta sistem sokongan bersepadu,” titah baginda.

Forum dua hari pada 11 dan 12 November itu dianjurkan Global Coalition on Aging (GCOA) dengan kerjasama Malaysian Healthy Ageing Society (MHAS), menghimpunkan pemimpin kerajaan, perniagaan dan institusi global bagi membincangkan potensi penuaan sihat sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.

Penganjuran kali ini juga menandakan kali pertama forum berkenaan diadakan di Asia dengan tumpuan kepada usaha menterjemahkan peningkatan jangka hayat kepada manfaat ekonomi menerusi pelaburan strategik dalam sektor penjagaan, kesihatan, tenaga kerja dan inovasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini