ECRL buka laluan baharu jana ekonomi rakyat - Utusan Malaysia

ECRL buka laluan baharu jana ekonomi rakyat

PROJEK ECRL kini berada di fasa akhir persiapan sebelum memulakan operasi komersial yang disasarkan pada pertengahan Disember 2026. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sekadar menyediakan jaringan pengangkutan moden, malah membuka peluang baharu kepada rakyat negeri ini untuk menjana pendapatan menerusi sektor perniagaan, pengangkutan barangan dan pelancongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemudahan itu mampu memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat sekiranya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha dan pemain industri di negeri ini.

Menurutnya, kewujudan jaringan pengangkutan baharu itu perlu disusuli perancangan strategik bagi memastikan kemudahannya digunakan secara optimum, khususnya dalam memudahkan pergerakan barangan dan keperluan perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau di rumah kita ada lori atau van tetapi kenderaan itu tidak bergerak, ia tidak akan mendatangkan apa-apa hasil.

“Begitu juga ECRL, perlu dirangka apa yang boleh dilakukan oleh pengusaha untuk memanfaatkan jaringan pengangkutan yang ada bagi memaksimumkan pergerakan barangan dan keperluan mereka dari satu tempat ke satu tempat. Saya percaya ia boleh membantu dari segi ekonomi rakyat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, di sini.

Mengulas persediaan kemudahan di stesen ECRL di Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan semua keperluan termasuk perkhidmatan dan kemudahan premis perniagaan di stesen berkenaan tersedia.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah mengadakan perbincangan dengan pihak MRL bagi menyelaras usaha pembangunan dan persediaan stesen berkenaan.

Tambahnya, beliau bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dijadual menaiki tren ECRL dari Kuala Terengganu ke Gombak pada penghujung bulan ini sebagai sebahagian daripada sesi percubaan sebelum perkhidmatan itu dijangka mula beroperasi pada pertengahan Disember. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini