Hina PM di Facebook, lelaki dipenjara tiga bulan

Hina PM di Facebook, lelaki dipenjara tiga bulan

MOHAMED Shazrin Jamil, mengaku bersalah atas membuat hantaran berunsur penghinaan dan kebencian terhadap Perdana Menteri di Mahkamah Sesyen Sepang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang lelaki dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat hantaran berunsur penghinaan dan kebencian terhadap Perdana Menteri menerusi aplikasi Facebook.

Tertuduh, Mohamed Shazrin Jamil, 35, membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Shazrin didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau menerusi akaun Facebook menggunakan akaun ‘Shazrin Kedah’ miliknya pada 12 Mac lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik melampau sifatnya pada 6.15 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran tersebut telah menggunakan rujukan kasar dan ucapan bernada kebencian yang boleh menyinggung perasaan serta menjatuhkan maruah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan perlindungan awam dan pencegahan terhadap kesalahan sama.

Beliau berkata, tahap penghinaan dalam komen berkenaan, penggunaan kata-kata kesat serta sifatnya yang boleh diakses orang awam merupakan faktor pemberatan yang perlu dipertimbangkan mahkamah.

Katanya, hukuman tegas perlu dijatuhkan bukan sahaja bagi menghalang tertuduh mengulangi kesalahan, malah memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

Namun begitu, tertuduh yang diwakili oleh peguam Amer Haiqal Mohd. Yusof memohon hukuman penjara lebih singkat dengan mengambil kira keadaan kewangan dan tanggungjawab keluarga anak guamnya.

Beliau berkata, tertuduh kini tidak bekerja, tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mempunyai wang kira-kira RM1,000.

Katanya lagi, tertuduh juga merupakan anak yang bertanggungjawab menjaga ibu bapanya yang masing-masing menghidap penyakit batu karang dan diabetes serta tiga serangkai.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh dan dibawa ke Penjara Kajang hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini