Pembangkang 'rampas' pengaruh Netanyahu dalam Knesset

Pembangkang ‘rampas’ pengaruh Netanyahu dalam Knesset

SEJUMLAH besar warga Israel berhimpun dalam protes anti-Netanyahu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Blok pembangkang Israel mula mengambil langkah menguasai Knesset selepas penggal baharu Parlimen negara itu dimulakan, sekali gus mencabar pengaruh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan sekutunya.

Walaupun masih belum mencapai kesepakatan untuk membentuk kerajaan, pembangkang menggunakan kelebihan majoriti mereka dengan mengemukakan usul mengadakan undian bagi memilih Speaker baharu yang bertanggungjawab menentukan agenda Parlimen.

Langkah itu membolehkan enam parti pembangkang menguasai perjalanan Knesset selepas penyokong Netanyahu, Amir Ohana, digantikan daripada jawatan Speaker.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menerusi penguasaan itu, mereka boleh memberi tumpuan kepada beberapa rang undang-undang penting meskipun rundingan pembentukan gabungan kerajaan masih belum dimuktamadkan.

Antara agenda utama pembangkang ialah menubuhkan suruhanjaya siasatan negara bagi menyiasat serangan pada 7 Oktober 2023 serta memperkenalkan had tempoh jawatan Perdana Menteri Israel.

Cadangan had penggal itu berpotensi menghalang Netanyahu daripada kembali memegang jawatan berkenaan. Beliau telah menerajui kerajaan Israel selama 19 daripada 30 tahun lalu.

Sementara itu, bekas Ketua Tentera Israel, Gadi Eisenkot, diberikan mandat oleh Presiden Israel untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau mempunyai tempoh enam minggu untuk mencapai kesepakatan membentuk kerajaan. Jika gagal, seorang calon lain yang berkemungkinan Netanyahu akan diberi peluang kedua.

Kegagalan calon kedua itu juga berkemungkinan menyebabkan Israel terpaksa mengadakan satu lagi pilihan raya.

Netanyahu membalas upacara mengangkat sumpah anggota Knesset baharu pada Selasa dengan melancarkan serangan berbaur perkauman terhadap dua parti pembangkang pimpinan Palestin, yang sokongan pengundinya penting dalam menumbangkan gabungan pemerintah beliau.

Beliau menyifatkan anggota Parlimen daripada kedua-dua parti itu sebagai penyokong pengganas.

Eisenkot mengecam ucapan Netanyahu sebagai tindakan ‘mengelirukan, memecahbelahkan, sarat kebencian dan memalukan’ kerana menggunakan acara rasmi negara untuk kepentingan politik.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai bukti Netanyahu tidak layak memegang jawatan Perdana Menteri.

Pemimpin parti Demokrat berhaluan kiri tengah, Yair Golan, dan bekas Ketua Polis Israel berbangsa Yahudi, Yoav Segalovich, yang bertanding menerusi senarai calon parti Islam Ra’am, bertindak meninggalkan dewan ketika Netanyahu menyampaikan ucapan sebagai tanda bantahan.

Warga Palestin yang memegang kewarganegaraan Israel membentuk kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu.

Netanyahu menjadikan serangan terhadap pengundi dan parti yang mewakili komuniti berkenaan sebagai antara agenda utama kempennya.

Sejak hari pengundian, beliau turut menyebarkan dakwaan penipuan pilihan raya tanpa bukti dalam komuniti berkenaan bagi mempersoalkan keputusan pilihan raya.

Bagaimanapun, pegawai pilihan raya memaklumkan tiada bukti berlaku sebarang penyelewengan yang menjejaskan keputusan atau integriti pilihan raya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini