Kerajaan Perpaduan bersatu kuasa tapi kini berbeza haluan

Kerajaan Perpaduan bersatu kuasa tapi kini berbeza haluan

KESTABILAN hanya bermakna apabila semua parti mampu mengetepikan perbezaan, mencapai kesepakatan dan menunaikan janji kepada rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTUKAN Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mencorakkan lembaran baharu politik negara apabila parti yang sekian lama bersaing dan bermusuhan akhirnya mengetepikan perbezaan, sanggup duduk semeja serta berganding bahu memikul tanggungjawab mentadbir Malaysia.

Penyatuan yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berikutan keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada mana-mana parti atau gabungan politik memperoleh majoriti mudah 50 peratus untuk membentuk kerajaan dianggap jalan terbaik bagi mengelakkan ketidaktentuan politik.

Bagaimanapun, perjalanan kerajaan yang menghimpunkan pelbagai parti dengan latar perjuangan berbeza tidak mudah. Ini kerana setiap komponen mempunyai pendirian, kepentingan dan kelompok penyokong tersendiri. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada peringkat awal, keutamaan membentuk kerajaan yang stabil menjadi alasan utama untuk menerima kerjasama tersebut. Namun, selepas hampir empat tahun mentadbir, rakyat boleh melihat perbezaan pandangan semakin sukar disembunyikan. 

Ini ekoran terdapat isu yang memperlihatkan ketidakselarasan pendirian, manakala sebahagian keputusan kerajaan pula mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin parti sendiri.

Kerjasama politik tidak bermakna semua pihak mempunyai pandangan serupa. Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing mempunyai kepentingan yang perlu dipertahankan. 

Perbezaan pandangan ketara apabila keputusan kerajaan menyentuh isu sensitif seperti agama, bahasa, pendidikan, ekonomi dan kedudukan institusi raja.

Dalam keadaan tertentu, pemimpin parti perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai anggota kerajaan dengan tuntutan penyokong di luar. Mereka bukan sahaja perlu mempertahankan keputusan Kabinet, malah perlu menjelaskan pendirian parti kepada akar umbi yang mungkin tidak menerima sepenuhnya kerjasama politik tersebut.

Akhirnya, mereka menjadikan ‘kompromi’ sebagai alasan agar rutin pentadbiran tidak terganggu.

Namun, apabila terlalu banyak pertimbangan politik hanya akan menyebabkan sesuatu keputusan tertangguh, malah mungkin terdapat dasar yang terpaksa disesuaikan bagi mengelakkan ketegangan antara rakan gabungan.

Sebelum ini isu membabitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memperlihatkan antara sisi kerumitan politik Kerajaan Perpaduan.

Kedua-duanya meninggalkan Kabinet pada 2025 selepas tewas dalam pemilihan kepimpinan PKR. Pada Mei 2026, mereka mengumumkan keputusan keluar daripada PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing. Rafizi kemudian semakin lantang mengkritik kepimpinan parti dan prestasi kerajaan termasuk isu pelaksanaan reformasi yang pernah 

Begitu juga apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, ramai melihat huru-hara dalam pentadbiran kerajaan.

Keputusan itu mencerminkan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas pemimpin negara yang terpalit dalam skandal SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Bagaimanapun, parti itu memilih untuk terus berada dalam kerajaan bagi mengekalkan kestabilan politik.

Perkembangan terbaharu ini memperlihatkan betapa sukarnya DAP mengimbangi prinsip perjuangan dengan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan. Ini kerana kita semua maklum isu Najib bukan sekadar membabitkan hubungan DAP dengan UMNO tetapi turut menyentuh persepsi rakyat terhadap integriti, keadilan dan kesungguhan kerajaan memerangi rasuah.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan tindakan UMNO membayar denda RM50 juta bagi pihak Najib berkaitan kes rasuah. 

Apabila wujud dakwaan campur tangan Jabatan Peguam Negara pastinya memerlukan penjelasan lanjut dari sudut perundangan dan situasi ini  bertambah rumit, sekali gus meletakkan kerajaan dalam keadaan serba sukar kerana setiap keputusan bukan sahaja membawa implikasi undang-undang, malah boleh menjejaskan hubungan antara parti komponen.

Sebelum ini, semasa ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan persoalan mengenai bagaimana nama Kerajaan Perpaduan yang dipersetujui dalam perjanjian gabungan ditukar kepada Kerajaan Madani.

Malah, kelmarin Ahmad Zahid mencadangkan pembubaran Parlimen bagi memberi mandat baharu kepada rakyat berbanding mengambil langkah untuk rombakan Kabinet. Anwar pula memaklumkan belum tiba masanya untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet ketika ini.

Dalam masa sama, ada yang melihat tindakan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) pada 29 Oktober lalu bagi menyokong Anwar membuka ruang kepada parti itu mengambil alih barisan menteri BN dalam Kabinet sekiranya berlaku perubahan kuasa.

 

UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT

Di sebalik pelbagai perbezaan itu, kerajaan perlu memastikan urusan pentadbiran tidak terjejas. Rakyat tidak seharusnya menanggung kesan daripada pertikaian politik yang gagal diselesaikan secara dalaman. Keputusan berkaitan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan tidak boleh terus tertangguh hanya kerana pemimpin masih mencari persetujuan politik.

Isu penyasaran subsidi bahan api, misalnya, memperlihatkan kesukaran kerajaan melaksanakan pembaharuan yang melibatkan kepentingan rakyat secara langsung. Walaupun langkah itu bertujuan mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang layak, namun pelaksanaannya memerlukan penerangan lebih jelas serta penyelarasan antara kementerian.

Sebarang kelemahan komunikasi mudah membuka ruang kepada kritikan, terutama apabila kenyataan pemimpin sendiri tidak sehaluan.

Begitu juga agenda reformasi institusi yang menjadi antara janji utama kerajaan. Pembaharuan berkaitan pengasingan kuasa, kebebasan institusi dan ketelusan pentadbiran memerlukan sokongan politik yang kukuh. Jika setiap perubahan terpaksa melalui terlalu banyak pertimbangan kepentingan parti, maka usaha memperbaiki sistem negara akan terus bergerak perlahan.

Jangan kata yang perbezaan pandangan atau kompromi sebagai politik matang sedangkan rakyat semakin menunjukkan kemarahan dan hilang kepercayaan terhadap pemimpin. 

Kerajaan perpaduan sebenarnya mempunyai kelebihan dari segi jumlah sokongan di Parlimen dengan gabungan yang luas sepatutnya membolehkan dasar penting dilaksanakan lebih mudah tetapi kelebihan angka itu tidak membawa makna sekiranya pemimpin gagal mencapai kesepakatan dalam perkara asas.

Pada masa sama, Anwar perlu memainkan peranan lebih tegas dalam menyelaraskan pendirian anggota Kabinet. Perbezaan pandangan wajar dibincangkan secara terbuka dalam saluran yang betul, bukannya dibiarkan berkembang menjadi pertelingkahan melalui kenyataan media atau serangan sesama sendiri.

Setiap parti juga perlu menentukan batas kompromi yang boleh diterima tanpa menggadaikan prinsip perjuangan. Menyertai kerajaan bukan bermakna semua pendirian perlu ditelan tetapi keputusan bersama yang sudah dipersetujui mesti dihormati. 

Jika tidak, rakyat akan melihat kerajaan sebagai gabungan parti yang hanya bersatu ketika berkongsi kuasa, tetapi berpecah apabila berhadapan keputusan sukar.

Dalam keadaan ekonomi yang masih menuntut perhatian dan rakyat mengharapkan perubahan, tenaga pemimpin sepatutnya ditumpukan kepada penyelesaian masalah negara, bukannya dihabiskan untuk meredakan pertikaian politik yang berulang. -UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini