GAZA: Hamas menuduh Lembaga Keamanan gagal memberikan gambaran menyeluruh mengenai krisis banjir di Gaza, selain tidak menyentuh peranan Israel dalam menghalang pelaksanaan pelan damai tajaan Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataan kelmarin, kumpulan itu menolak dakwaan kelewatan pelaksanaan pelan berkenaan berpunca daripada Hamas, sambil menegaskan pihaknya bersama beberapa puak Palestin lain sudah bersetuju menerima pelan tersebut.
Terdahulu, Lembaga Keamanan mengkritik tindakan Israel yang melengahkan kemasukan bekalan keperluan ke Gaza sehingga memburukkan keadaan kemanusiaan di wilayah itu.
Lembaga berkenaan turut menggesa Hamas melaksanakan komitmennya, termasuk meletakkan senjata dan menyerahkan kuasa pentadbiran.
Hamas menyambut baik kritikan lembaga itu terhadap Israel, namun menyifatkan kenyataan berkenaan gagal mengambil kira tanggungjawab lebih besar negara itu dalam menghalang pelaksanaan pelan yang dikemukakan Presiden Donald Trump.
Kumpulan itu turut merujuk kenyataan pengantara Mesir, Qatar dan Turkiye pada 3 Ogos lalu yang memberi amaran pelanggaran Israel menjejaskan pelaksanaan fasa kedua pelan berkenaan.
Hamas berkata, tindakan menjadikan bantuan menyelamatkan nyawa sebagai alat tekanan politik melanggar tanggungjawab kemanusiaan dan undang-undang, ketika bekalan perlindungan masih terkandas di luar Gaza, manakala keluarga yang kehilangan tempat tinggal berdepan banjir serta cuaca sejuk.
“Kanak-kanak yang maut ditimbus pasir dan akibat air hujan bukan pihak yang terlibat dalam rundingan,” kata Hamas sambil menegaskan nasib mereka tidak sepatutnya dijadikan tebusan kepada kepentingan Israel.
Kumpulan itu menggesa Lembaga Keamanan menjelaskan kegagalannya menangani bencana berkenaan serta memastikan Israel mematuhi komitmen di bawah fasa pertama pelan damai itu.
Hamas turut menuntut semua pintu masuk ke Gaza dibuka bagi membolehkan bekalan bantuan, bahan perlindungan dan keperluan pemulihan dibawa masuk tanpa dikenakan syarat politik atau keselamatan.
Selain itu, kumpulan berkenaan menggesa penetapan jadual pelaksanaan serta mekanisme pemantauan bagi memastikan pelan berkenaan dipatuhi, termasuk pengunduran tentera Israel dan langkah membolehkan jawatankuasa Palestin yang dipertanggungjawabkan mentadbir Gaza memulakan tugas.
Hamas turut meminta lembaga itu menerbitkan laporan yang menyenaraikan komitmen yang sudah dilaksanakan, masih tertangguh serta pihak yang bertanggungjawab terhadap kelewatan berkenaan.- ANADOLU











