SHAH ALAM: Undang-undang khusus bagi mengawal selia kutipan awam terutama melibatkan harta umat Islam perlu diwujudkan supaya dana berkenaan dapat diuruskan secara telus serta mengelak daripada diseleweng.
Ia berikutan ketiadaan kawalan khusus bagi kutipan dana umat Islam seperti infaq, fidyah dan sebagainya menyebabkan kewujudan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, situasi demikian membimbangkan terutama apabila melibatkan dana umat Islam yang turut dikutip oleh pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sekarang yang ada hanya (undang-undang) berkaitan pengurusan zakat dan juga harta wakaf. Tetapi, (kutipan) daripada sumber am tidak ada suatu peruntukan yang jelas.
“Siapa yang mengawal harta-harta ataupun wang yang melibatkan sumber am dan boleh ke pihak berkuasa menghalang orang ramai atau NGO yang mengambil peranan mengutip daripada orang ramai dan mengagihkannya.
Disebabkan itu perlulah kita memikirkan untuk mewujudkan undang-undang mengawal hal-hal yang berkaitan dengan harta-harta dan sumber am,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 anjuran MAIS di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap kewujudan pihak yang yang mengutip dana umat Islam bagi kepentingan peribadi.
Baginda bertitah, ketika ini banyak pihak yang membuat kutipan dan menguruskan harta umat Islam termasuk kutipan infak, sumbangan dan fidyah, namun sebahagian besarnya tidak dilantik oleh pihak berkuasa seperti MAIS dan majlis agama Islam negeri-negeri.
Malah, baginda menyifatkan pihak-pihak itu terlibat dalam penyelewengan dana awam itu sebagai memalukan dan merugikan umat Islam.
Salehuddin menambah, antara masalah yang turut dibangkitkan dalam konvensyen disertai Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand itu adalah pertembungan antara mahkamah syariah dan sivil.
“Kita tahu isu-isu berkaitan harta wakaf dan sumber am (dana umat Islam) kendaliannya adalah di bawah bidang kuasa syariah.
“Tetapi dalam masa sama berkenaan harta pusaka yang melibatkan harta tidak alih, ia turut melibatkan tuntutan di mahkamah syariah. Jadi ada dua bidang kuasa yang juga membicarakan tentang harta umat Islam,” jelasnya. – UTUSAN











