MELAKA: Polis dan tentera yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 hari ini berhak menentukan pilihan masing-masing tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abd. Halim berkata, kebebasan anggota pasukan keselamatan untuk menilai calon dan tawaran politik perlu dihormati selaras dengan prinsip kerahsiaan undi dalam sistem demokrasi.
Menurutnya, semua pihak perlu mengelakkan sebarang bentuk tekanan atau penyebaran maklumat mengelirukan yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi.
“Dalam proses demokrasi, kerahsiaan undi dan kebebasan membuat keputusan mesti dihormati sepenuhnya.
“Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH) minta semua pihak elakkan sebarang bentuk tekanan, hentikan penyebaran maklumat mengelirukan dan beri ruang luas kepada pengundi untuk membuat penilaian secara bebas,” katanya dalam sidang akhbar harian Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.
Hari ini, seramai 12,214 pengundi awal terdiri daripada 2,445 polis dan 9,769 tentera terlibat dalam proses pengundian awal bagi PRN Melaka.
Jumlah itu membabitkan 19 pusat pengundian awal di seluruh negeri iaitu 12 pusat bagi polis dan tujuh pusat bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Adam Adli berkata, pengorbanan anggota keselamatan dalam menjaga keamanan negara perlu disertai jaminan kebajikan yang setimpal daripada kerajaan.
Menurutnya, kebajikan anggota keselamatan perlu diberikan secara adil tanpa mengira kecenderungan politik masing-masing.
“Penjagaan kebajikan ialah tanggungjawab kerajaan yang perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira pilihan politik penerima.
“Langkah Kerajaan Madani merangka pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta Bantuan Khas Kewangan RM1,500 menerusi Belanjawan 2027 bukti komitmen berterusan terhadap penjawat awam dan anggota keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM2.3 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters pelbagai perkhidmatan termasuk polis dan tentera.
Katanya, JPPH meminta pengundi supaya menilai rekod pentadbiran, kewibawaan calon serta keupayaan mereka melaksanakan tawaran sebelum membuat pilihan. – UTUSAN








