PETALING JAYA: Malaysia Airlines menawarkan peluang eksklusif kepada peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan Manchester United di Old Trafford, England menerusi pertandingan khas yang berlangsung dari 10 November hingga 10 Disember 2026.
Pertandingan itu terbuka kepada pelanggan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand yang membuat tempahan penerbangan secara terus menerusi laman web rasmi Malaysia Airlines atau aplikasi mudah alih syarikat penerbangan itu.
Malaysia Airlines berkata, menerusi pertandingan berkenaan, empat pemenang hadiah utama masing-masing berpeluang membawa seorang teman menikmati pengalaman eksklusif di gelanggang keramat Manchester United, termasuk penerbangan pergi balik kelas perniagaan ke London.
“Setiap pemenang turut menerima akses ke Malaysia Airlines VIP Corporate Box di Old Trafford, lawatan ke muzium dan stadium Manchester United serta peluang menyaksikan sesi latihan pasukan utama dari belakang tabir.
“Selain itu, sebanyak 20 pemenang hadiah saguhati masing-masing akan menerima jersi rasmi Manchester United yang ditandatangani sebagai cenderahati eksklusif kelab bola sepak berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menyertai pertandingan itu, pelanggan perlu membuat tempahan mana-mana penerbangan kendalian Malaysia Airlines menerusi laman web atau aplikasi mudah alih syarikat itu sepanjang tempoh pertandingan bagi perjalanan sehingga 28 Februari 2027.
“Pelanggan kemudian perlu melengkapkan dan menghantar borang penyertaan menerusi laman web pertandingan dengan setiap nombor rujukan tempahan yang sah (PNR) memberikan satu penyertaan.
“Penerbangan perkongsian kod (codeshare) tidak layak menyertai pertandingan berkenaan,” katanya.
Setiap minggu, seorang pelanggan akan dipilih sebagai pemenang hadiah utama, manakala lima pelanggan lain menerima hadiah saguhati, menjadikan keseluruhan empat pemenang utama dan 20 pemenang saguhati sepanjang tempoh pertandingan.
Pemenang akan diumumkan setiap minggu, manakala pengesahan akhir dijadualkan pada Mac 2027 selepas semua keperluan perjalanan diselesaikan.
Selain peluang memenangi pengalaman eksklusif itu, pelanggan yang membuat tempahan terus menerusi saluran rasmi Malaysia Airlines turut menikmati pelbagai manfaat tambahan termasuk perubahan tarikh tanpa had bagi tambang Flex, bayaran balik mudah sekiranya permohonan visa tidak berjaya serta tambang istimewa untuk kanak-kanak.
Inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan Malaysia Airlines memperkukuh pengalaman pelanggan menerusi tawaran perjalanan premium dan peluang eksklusif yang melangkaui perkhidmatan penerbangan, berteraskan layanan mesra Hospitaliti Malaysia. – UTUSAN











