WASHINGTON: Lembaga Keamanan memberi amaran berhubung krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza selepas banjir musim hujan menenggelamkan ribuan khemah serta tempat perlindungan sementara sejak dua hari lalu.
Kejadian banjir teruk berkenaan merobohkan struktur penempatan pelarian, sekali gus menyebabkan ribuan keluarga terdedah kepada cuaca sejuk, persekitaran tidak selamat serta keadaan hidup yang kian mendesak.
”Situasi ini bukan lagi sekadar ancaman berikutan kedatangan musim sejuk, sebaliknya merupakan kecemasan kemanusiaan serta-merta yang menuntut tindakan pantas,” kata Lembaga Keamanan menerusi satu kenyataan rasmi dipetik Anadolu.
Pihak badan berkenaan menegaskan kebenaran kemasukan serta pengagihan bahan perlindungan asas, kelengkapan sanitasi, sistem perparitan dan bekalan mendepani musim sejuk amat kritikal bagi melindungi nyawa orang awam.
Lembaga Keamanan mengesahkan pihaknya sudah berulang kali memberi peringatan berhubung risiko banjir serta kemerosotan tempat perlindungan, selain mendesak semua pihak memenuhi komitmen di bawah Pelan Keamanan Komprehensif Presiden Donald Trump.
”Kami secara khusus mendesak kerajaan Israel untuk membenarkan kemasukan bahan binaan perlindungan sementara, infrastruktur air dan sanitasi, pengurusan sisa serta pembersihan kumbahan berpandukan Protokol Kemanusiaan Sharm El-Sheikh,” tegas badan itu.
Meskipun menyedari beberapa langkah sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Israel melalui Koordinator Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT), Lembaga Keamanan menyifatkan tindak balas sedia ada masih tidak mencukupi.
Kelewatan dalam meluluskan kemasukan bekalan kritikal terbaharu itu didakwa memburukkan lagi cabaran kemanusiaan, selain melambat-lambatkan proses pelucutan senjata dan penyerahan kuasa daripada Hamas kepada Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG).
Menerusi kenyataan sama, badan berkenaan turut mendesak kumpulan Hamas agar memenuhi komitmen di bawah pelan damai berkenaan termasuk meletakkan senjata serta menyerahkan tadbir urus secara rasmi kepada NCAG.
Selain itu, Lembaga Keamanan menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), agensi antarabangsa serta negara penderma untuk menyelaraskan bantuan dengan kadar segera bagi menampung sumber dan bekalan operasi yang diperlukan.
Mengakhiri kenyataan tersebut, pihak lembaga memberi amaran tegas bahawa mana-mana pihak yang gagal memenuhi obligasi masing-masing akan bertanggungjawab secara langsung terhadap implikasi buruk yang menimpa penduduk awam di Gaza.









