200 tan bantuan dihantar guna kapal bulan depan

200 tan bantuan dihantar ke Gaza guna kapal bulan depan

SEBAHAGIAN daripada bantuan yang akan dihantar ke Gaza menerusi Op Ihsan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sekretariat Ops Ihsan merancang untuk menggunakan sebuah kapal laut bagi membawa bantuan misi keempat yang dijangka pada pertengahan Januari tahun depan.

Pengerusinya, Jismi Johari ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, barangan yang akan dihantar kepada penduduk wilayah Gaza itu berbentuk tahan lama dan lambat tarikh luput.

“Insya-Allah, kami jika tiada halangan akan hantar lagi sehingga lapan buah kontena yang berat keseluruhan boleh mencecah 208 tan menerusi kapal awal bulan depan,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli menyaksikan persiapan misi ketiga Ops Ihsan di Kompleks Kargo KLIA, hari ini.

Ia meliputi pelbagai barangan seberat 60 tan termasuk perubatan dan keperluan musim sejuk untuk pelarian Palestin yang menjadi mangsa kekejaman askar rejim Zionis di Gaza.

Misi pertama Ops Ihsan dilaksanakan pada 3 November lalu yang melibatkan muatan seberat 20 tan manakala kali kedua pula diadakan seminggu kemudian dengan berat 16 tan.

Jismi ber­kata, pada dasar­nya sekretariat tersebut berhasrat me­ngangkut bantuan melibatkan sebanyak 75 buah kontena dengan berat keseluruhannya 1,950 tan.

“Bagaimanapun, ada barangan berkenaan yang boleh dianggap sebagai ter­desak untuk kegunaan segera di Gaza dan lebih sesuai dihantar dengan pesawat udara.

“Bagi barang yang mampu bertahan lama dan tidak perlu disegerakan, ia akan dihantar dengan kapal yang kelazimannya mengambil masa antara 12 hingga 24 hari,’’ katanya.

Katanya, segala sumbangan kemudiannya akan diuruskan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama yang menyelia penghantaran melalui sempadan darat masuk ke Gaza.

Ops Ihsan dibentuk hasil gabungan 50 badan tempatan dan disokong Kementerian Luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×