SERDANG: Jenazah tiga saudara yang maut selepas disambar petir ketika membaiki kereta di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang petang semalam dijangka dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Kampong Hampalan Kajang, Semporna, Sabah, esok.
Bapa saudara mangsa, Mohd Asli Nelzaman, 45, berkata, ketiga-tiga jenazah akan dibawa pulang sebaik urusan bedah siasat dan dokumentasi selesai di Hospital Serdang.
Menurutnya, jika segala urusan dapat diselesaikan petang ini, jenazah dijangka diterbangkan ke Sabah pagi esok untuk dikebumikan di kampung halaman mereka.
“Kalau selesai petang ini, esok pagi kita bawa balik Semporna. Keluarga di sana juga sudah membuat persediaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Mohd Asli, berita mengenai kejadian itu diterima daripada isterinya kira-kira pukul 3.30 petang semalam sebelum dia segera meminta kebenaran majikan untuk bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu urusan pengecaman mangsa.
Katanya, kehilangan tiga ahli keluarga dalam satu kejadian itu amat dirasai memandangkan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat.
“Memang susah hendak cakap sebab ini kali pertama keluarga kami kehilangan tiga orang sekali gus. Mereka bukan orang lain, semuanya keluarga sendiri.
“Memang terasa sangat kehilangan ini,” katanya.
Mengimbas hubungan ketiga-tiga mangsa, Mohd Asli berkata, mereka sememangnya rapat sejak di kampung halaman sebelum berhijrah ke Semenanjung.
Katanya, mereka sering melakukan aktiviti bersama-sama termasuk membaiki kereta dan hampir ke mana sahaja pasti bertiga.
“Memang rapat, apa-apa hendak buat bertiga. Pergi kedai pun bertiga. Memang susah hendak tengok mereka berasingan,” katanya.
Tambahnya, kawasan kejadian bukan asing bagi mereka kerana terletak berhampiran tempat tinggal dan sering dijadikan lokasi untuk melakukan kerja membaiki kenderaan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga mangsa termasuk dua beradik, Mohd Sahrif Marusin, 26, dan Mohd Ahzam, 16, serta sepupu mereka, Mohd Safwan Aksan, 18, maut selepas dipercayai disambar petir ketika berada di kawasan padang awam berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sepang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.34 petang itu, ketiga-tiga mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di bawah sebatang pokok sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Putrajaya. – UTUSAN











