Sabah tidak kompromi insiden bom ikan di Pulau Selakan

Sabah tidak kompromi insiden bom ikan di Pulau Selakan

GAMBAR selepas insiden pengeboman ikan di kawasan perlindungan Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) - IHSAN TAMAN-TAMAN SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan aktiviti pengeboman ikan yang mengancam kelestarian sumber semula jadi di kawasan perlindungan termasuk di Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), di sini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan demi memastikan khazanah biodiversiti negeri ini terus terpelihara.

Katanya, pihaknya memandang serius insiden pengeboman ikan yang berlaku di kawasan Tapak Restorasi Terumbu Karang di Pulau Selakan kerana ia memberi kesan besar terhadap ekosistem marin dan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa.

“Insiden ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memusnahkan hasil usaha pemuliharaan marin yang telah dibangunkan sejak sekian lama, malah turut mengancam kelestarian sumber perikanan, biodiversiti marin dan keselamatan pelancong.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan aktiviti yang mengancam kelestarian sumber semula jadi di kawasan perlindungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, maklumat awal kejadian diterima daripada Ranger Kehormat Taman pada 23 Mei lalu sekitar jam 11.40 pagi.

Walau bagaimanapun, katanya, suspek dipercayai sempat melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penguat kuasa TMTS di lokasi kejadian.

Beliau menjelaskan, hasil pemantauan awal oleh Community Marine Conservation Group (CMCG) mendapati terdapat dua kawah dipercayai berpunca daripada letupan bom ikan di kawasan restorasi terumbu karang berkenaan.

“Pemantauan lanjut pada 25 Mei oleh Unit Penyelidikan Marin TMTS bersama Reef Check Malaysia dan CMCG mengesahkan insiden itu mengakibatkan kemusnahan serius terhadap ekosistem marin di kawasan berkenaan.

“Penilaian lapangan mendapati sekurang-kurangnya 10 struktur reef star terjejas melibatkan keluasan kerosakan sekitar 15 meter persegi bersamaan 2.91 peratus daripada keseluruhan kawasan restorasi,” katanya.

Jafry berkata, majoriti spesies karang yang terjejas terdiri daripada Acropora, Pocillopora, Fimbryphyllia, Montipora, Porites dan Plerogyra yang dipulihara secara berterusan sejak dua tahun lalu menerusi usaha restorasi pelbagai pihak.

Beliau berkata, anggaran awal menunjukkan kos penyelenggaraan dan pemulihan kawasan yang terjejas mencecah kira-kira RM96,000 selain kerosakan terhadap struktur reef star dianggarkan bernilai RM3,000.

Katanya, keluasan kawasan perairan TMTS yang mempunyai sempadan laut terbuka, kekangan aset penguatkuasaan termasuk bot serta ketiadaan substesen atau pos kawalan tetap di Pulau Selakan menjadi antara cabaran utama dalam memperkukuhkan tindakan balas pantas di lapangan.

Sehubungan itu, beliau telah meminta pihak pengurusan Taman-Taman Sabah memperkukuhkan langkah strategik bagi meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan termasuk aspek penempatan aset dan logistik, penggunaan teknologi dron serta pengukuhan kehadiran fizikal pasukan penguat kuasa di kawasan berisiko tinggi.

Beliau turut menyeru komuniti maritim, nelayan tempatan dan semua pihak berkepentingan supaya memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memelihara khazanah marin negeri dengan menyalurkan maklumat segera berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan atau pencerobohan di kawasan taman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN