Artikel kelantangan Abdul El-Sayed kritik dasar Obama muncul semula - Utusan Malaysia

Artikel kelantangan Abdul El-Sayed kritik dasar Obama muncul semula

ABDUL EL-Sayed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​WASHINGTON: Beberapa penulisan lama bakal Ahli Senat Michigan, Abdul El-Sayed yang membidas tindakan bekas Presiden Barack Obama melancarkan serangan dron terhadap warganegara Amerika Syarikat (AS) dan amaran kerasnya kepada Ikhwanul Muslimin kini kembali menarik perhatian umum.

Beliau yang mewakili parti Demokrat menewaskan anggota Kongres Republikan, Mike Rogers dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.

Menerusi artikel penulisan beliau di platform HuffPost pada tahun 2011, El-Sayed meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap wakil rakyat AS yang disifatkan lebih mengutamakan bajet Pentagon berbanding program sosial, selain mengkritik campur tangan tentera di Asia Barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

​”Selain krisis berpanjangan selama sedekad yang mengorbankan ratusan ribu nyawa di Afghanistan, tentera kita turut melancarkan serangan dron harian di Pakistan dan Yaman,” tulis beliau dalam penulisan terbabit.

​”Tindakan terbaharu menyaksikan salah satu serangan dron itu melakukan pembunuhan tanpa pengadilan terhadap seorang warganegara AS, sebelum serangan seterusnya mengorbankan anak lelakinya berusia 16 tahun yang juga warga AS,” tambah beliau merujuk kepada peperangan di Iraq yang disifatkannya sebagai tidak berasas.

​Kenyataan terbabit dipercayai merujuk kepada keputusan Obama melancarkan serangan dron membunuh Anwar Nasser Abdulla al-Awlaki, seorang pemimpin al-Qaeda berkerakyatan  Yaman-AS yang menjadi warga AS pertama dibunuh secara khusus melalui serangan dron kerajaan.

Selain isu ketenteraan, beberapa penulisan lain yang timbul semula mendedahkan kebimbangan El-Sayed terhadap potensi pergerakan Ikhwanul Muslimin dan parti Islamis lain di Mesir yang didakwanya mungkin mengamalkan dasar sosialis radikal selepas Revolusi 2011.

Susulan peletakan jawatan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada tahun 2011, El-Sayed menulis beberapa artikel pendapat bagi menyokong penunjuk perasaan dan merangka strategi bagaimana Mesir mampu mengekalkan sistem demokrasi.

Menerusi artikel diterbitkan Al Jazeera pada Februari 2012 yang ditulis bersama penuntut Ijazah Kedoktoran Ekonomi Universiti Harvard, Jisung Park, beliau memberi amaran bahawa masa depan Mesir amat bergantung kepada pilihan dasar ekonominya.

​”Pencapaian memberangsangkan Ikhwanul Muslimin dan parti Salafi Al-Nour lebih didorong oleh manifesto domestik dan rekod keadilan sosial mereka berbanding sokongan pengundi terhadap ideologi Islam semata-mata,” tulis gandingan terbabit.

​Pada ketika itu, blok Ikhwanul Muslimin berjaya menguasai kira-kira 47 peratus kerusi wakil rakyat Mesir, manakala parti aliran tegar Salafi Al-Nour memperoleh 24 peratus sokongan.

Satu perkara yang menarik perhatian, El-Sayed yang kini dikenali dengan pandangan politik haluan kirinya pernah mengingatkan Mesir agar tidak mengamalkan dasar pengagihan semula kekayaan secara radikal, sambil membuat perbandingan dengan corak pembangunan Korea Utara dan Korea Selatan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini