BAGHDAD: Serangan dron ke atas medan gas Khor Mor di wilayah autonomi Kurdistan, utara Iraq, mencetuskan kebakaran dan menyebabkan lebih 70 peratus kawasan wilayah itu terputus bekalan elektrik pada malam kelmarin.
Pegawai Iraq dan Kurdistan berkata, serangan itu turut menjejaskan operasi kemudahan gas berkenaan sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Bagaimanapun, identiti pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan itu masih belum dikenal pasti, termasuk sama ada kejadian berkenaan mempunyai kaitan dengan perang antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Agensi semakan fakta Al Jazeera, Sanad mengesahkan kesahihan rakaman yang menunjukkan asap tebal dan api menjulang dari kawasan sekitar medan gas berkenaan di wilayah pentadbiran Sulaimaniyah.
Jurucakap Kementerian Elektrik Kerajaan Wilayah Kurdistan, Omid Ahmed berkata, serangan itu menyebabkan bekalan gas ke loji jana kuasa di bandar Erbil, Sulaimaniyah, Bazian, Chamchamal dan Duhok terhenti, lapor agensi berita rasmi Iraq (INA).
Beliau berkata, serangan itu menyebabkan penjanaan elektrik antara 2,500 hingga 2,800 megawatt terhenti daripada sistem grid.
Tambahnya, kementerian akan memastikan bekalan elektrik terus disalurkan kepada kemudahan kritikal seperti hospital dan loji rawatan air dengan mengoperasikan stesen jana kuasa hidroelektrik serta loji lain yang menggunakan bahan api alternatif.
Wartawan Al Jazeera, Peter Smith yang membuat liputan dari Baghdad, memetik sumber keselamatan sebagai berkata, dron yang membawa bahan letupan itu menyasarkan kemudahan penyimpanan gas di medan Khor Mor, sekali gus mengurangkan kapasiti grid tenaga antara 70 hingga 80 peratus.
Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi berkata, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan susulan serangan itu berdasarkan penilaian awal.
Beliau turut mengarahkan penubuhan jawatankuasa siasatan bersama pihak berkuasa berkaitan di wilayah Kurdistan bagi menyiasat keadaan serta punca serangan berkenaan, menurut INA. – AGENSI










