Mohd. Zuraidi hasilkan enam jenis sangkar burung unik

Mohd. Zuraidi hasilkan enam jenis sangkar burung unik

MOHD. Zuraidi Ibrahim menunjukkan sangkar dan jebak burung yang dihasilkannya di rumahnya di Kampung Gong Manok, Kuala Besut, Besut, Terengganu.– UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Bermula kerana tidak mampu membeli sangkar burung diminati, seorang pemuda kini menjadikan kemahiran menghasilkan sangkar bercorak unik sebagai sumber pendapatan sampingan.

Mohd. Zuraidi Ibrahim, 34, dari Kampung Gong Manok, di sini berkata, dia mula menghasilkan sangkar sendiri sejak berusia 18 tahun menggunakan kayu terpakai.

Katanya, hasil kerja tangan itu pada awalnya sekadar untuk kegunaan sendiri sebelum mendapat perhatian orang ramai sehingga menerima tempahan pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada mulanya saya cuba buat sendiri kerana tidak mampu membeli sangkar yang diminati. Saya tertarik dengan bentuknya yang comel dan unik walaupun bukan terlalu meminati aktiviti memelihara burung.

“Lama-kelamaan saya semakin mahir dan mula menghasilkan pelbagai reka bentuk mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Dia kini mampu menghasilkan enam jenis sangkar termasuk berbentuk arnab dan bunga yang kebanyakannya ditempah untuk pertandingan burung.

Sebuah sangkar mampu disiapkan antara seminggu hingga tiga minggu, bergantung kepada saiz dan kerumitan. Ia dijual antara RM70 hingga RM900, bergantung kepada reka bentuk dan jenis kayu digunakan.

Selain sangkar, dia turut menghasilkan jebak burung berharga RM120 hingga RM600.

Bekerja sebagai pencuci di sebuah jabatan kerajaan, Mohd. Zuraidi hanya mampu menghasilkan kira-kira lima sangkar sebulan kerana perlu membahagikan masa antara pekerjaan dan tempahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini