Pasaran IPO dijangka lebih rancak pada 2027 - Utusan Malaysia

Pasaran IPO dijangka lebih rancak pada 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijangka merekodkan antara 35 hingga 45 tawaran awam permulaan (IPO) pada 2027 dengan saiz purata penyenaraian lebih besar berbanding tahun ini, sekali gus mencerminkan prospek pasaran modal yang lebih kukuh.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perkembangan itu dijangka didorong oleh kemasukan semula beberapa syarikat yang sebelum ini menangguhkan rancangan penyenaraian pada 2024 dan 2025 berikutan kadar faedah tinggi di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, mereka kini dilihat lebih bersedia memasuki pasaran berikutan keadaan pembiayaan yang semakin baik, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan aktiviti penyenaraian dengan nilai lebih besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasaran IPO Malaysia akan terus mencatatkan perkembangan positif pada 2027, namun dengan penekanan lebih kepada nilai penyenaraian berbanding jumlah syarikat yang memasuki pasaran.

“Penurunan kadar faedah juga dijangka mengurangkan kos modal dan meningkatkan penilaian syarikat, sekali gus mendorong lebih banyak pemilik perniagaan mempertimbangkan penyenaraian di Bursa Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, permintaan pelabur institusi tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut menjadi antara faktor yang menyokong aktiviti IPO.

“Kejelasan hala tuju dasar kerajaan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) juga mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan sektor ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia muncul pasaran IPO paling aktif di Asia Tenggara dengan 38 penyenaraian bernilai AS$1.62 bilion (RM7.6 bilion) dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat 63.7 peratus berbanding AS$992 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi antara pemacu utama aktiviti IPO negara pada tahun hadapan.

Menurutnya, unjuran itu didorong oleh peningkatan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi serta keperluan pembiayaan bagi mengembangkan operasi syarikat.

“Perkembangan industri semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pusat data serta infrastruktur digital berpotensi melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang bersedia memasuki pasaran modal.

“Peningkatan pelaburan dalam sektor berkenaan bukan sahaja membuka peluang kepada syarikat besar, malah turut memberi ruang kepada perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan untuk berkembang sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Bagaimanapun, prospek pasaran IPO pada 2027 perlu dilihat secara berhati-hati memandangkan tiada jaminan prestasi dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 dapat diulangi pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, pengenalan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Mac lalu menjadi antara perkembangan penting yang menyokong pertumbuhan pasaran modal dalam tempoh lima tahun akan datang” katanya.

Ujarnya, pelan berkenaan menyasarkan pertumbuhan pasaran modal pada kadar tahunan terkompaun antara enam hingga lapan peratus, daripada RM4.3 trilion pada 2025 kepada RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

“Sasaran itu mencerminkan usaha menjadikan pasaran modal sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi berpendapatan tinggi, termasuk melalui penyenaraian baharu, penggemblengan modal institusi dan pembiayaan korporat.

“Peningkatan pelaburan domestik dan asing dalam sektor semikonduktor, tenaga, infrastruktur digital dan pembuatan bernilai tinggi berpotensi mewujudkan lebih banyak syarikat yang mempunyai keupayaan untuk disenaraikan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini