Lubang ozon Antartika capai saiz terbesar akibat cuaca luar biasa - Utusan Malaysia

Lubang ozon Antartika capai saiz terbesar akibat cuaca luar biasa

LUBANG ozon mencapai saiz terbesar dalam tempoh satu dekad. - NASA Earth Observatory
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lubang lapisan ozon di kawasan Antartika dilaporkan mencapai saiz terbesar dalam tempoh satu dekad akibat keadaan cuaca luar biasa, menu­rut pendedahan saintis Pentad­biran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Mencapai paras kemuncak antara 7 September dan 13 Oktober lalu, kawasan kepupusan ozon berkenaan merebak sehingga 25 juta kilometer persegi (km)

Bagi memberikan gambaran keluasan berkenaan, saiz kepupusan ozon terbabit dianggarkan melangkaui dua kali ganda daripada keseluruhan saiz kawasan Amerika Syarikat (AS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengukuran saintifik yang dijalankan oleh pasukan NOAA dan NASA mendedahkan bahawa lubang ozon berkenaan berada pada tahap paling membimbangkan apabila mencecah saiz maksimum pada 18 September.

Pada tarikh berkenaan, keluasan lubang ozon meluas sehingga 27.1 juta km, iaitu tiga kali ganda saiz AS. Skala berkenaan mencatatkan hampir 90 peratus daripada saiz lubang ozon terbesar pernah direkodkan dalam sejarah dunia pada 9 September 2000.

“Saiz lubang ozon 2026 ini sangat besar. Namun, ia berpotensi menjadi 3.5 juta km lebih luas sekiranya bahan pemusnah ozon dalam atmosfera kekal tinggi seperti paras puncak tahun 2000,” kata saintis program berkenaan, Dr. Paul Newman.

Kenyataan Newman itu me­rujuk kepada bahan kimia penghakis ozon seperti klorofluorokarbon (CFC) dan sebatian pemusnah lain yang dahulunya diguna secara meluas dalam perkakas rumah termasuk peti sejuk, penyaman udara serta penebat bangunan

Meskipun bahan kimia terbabit masih berada dalam atmosfera, kumpulan saintis meramalkan ia bakal terhapus sepenuhnya menjelang dekad 2070-an sekali gus membolehkan lapisan ozon pulih sepenuhnya.

Lapisan ozon di bahagian stratosfera bertindak sebagai pelindung matahari semula jadi bumi yang melindungi hidupan daripada bahaya sinaran radiasi ultraungu (UV) matahari.

Bagaimanapun, pelepasan sebatian buatan manusia yang mengandungi elemen klorin dan bromin secara berterusan di udara terus mengancam kelangsungan dan ketebalan lapisan ozon planet ini. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini