Rangkaian 5G kedua capai liputan 90 peratus sembilan bulan lebih awal - Utusan Malaysia

Rangkaian 5G kedua capai liputan 90 peratus sembilan bulan lebih awal

FAHMI ketika berucap pada Forum Kepimpinan Digital sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026 di sini, hari ini. - BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Rangkaian 5G kedua negara mencapai liputan 90 peratus pada Oktober lalu, sembilan bulan lebih awal daripada jadual.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu menandakan kemajuan ketara dalam peralihan Malaysia ke arah model dwirangkaian 5G yang bertujuan meningkatkan persaingan, menggalakkan pelaburan dan menambah baik kualiti perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya, Malaysia turut melaksanakan pelaburan besar bagi memperluas dan memperkukuh infrastruktur digital negara menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sejak 2020.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat Julai 2026, kira-kira 10.12 juta premis telah diliputi rangkaian gentian optik, sekali gus meningkatkan akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan ketara,” katanya pada sesi panel peringkat menteri Forum Kepimpinan Digital sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026 di sini, hari ini.

Fahmi berkata, perkembangan itu mencerminkan usaha negara membangunkan ekosistem telekomunikasi yang berdaya saing dan mampan, di samping memastikan pengguna mendapat manfaat daripada peningkatan kualiti perkhidmatan.

Katanya, pembangunan infrastruktur digital Malaysia turut memberi perhatian kepada kualiti perkhidmatan, kemampuan melanggan dan daya tahan rangkaian, selain memperluas liputan.

Beliau berkata, semua aspek itu perlu ditangani secara menyeluruh bagi memastikan kesalinghubungan digital memberikan manfaat kepada rakyat.

“Menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kami terus menggalakkan perkongsian infrastruktur dan pelaksanaan rangkaian secara cekap, di samping menangani jurang kesalinghubungan dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat liputan perkhidmatan,” katanya.

Fahmi berkata, kerangka Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) turut memainkan peranan penting dalam memperluas perkhidmatan telekomunikasi ke kawasan yang mungkin tidak berdaya maju jika bergantung kepada pelaburan komersial semata-mata.

Katanya, pendekatan itu membolehkan Malaysia mengimbangi pelaburan infrastruktur dengan keperluan memastikan perkhidmatan telekomunikasi terus mudah diakses pada kadar berpatutan.

“Bagi Malaysia, model rangkaian yang berjaya ialah model menggabungkan infrastruktur kukuh, pelaburan mampan, kawal selia berkesan serta akses yang bermakna kepada semua,” katanya.

Fahmi berada di Doha bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU PP-26) yang berlangsung dari 6 hingga 11 November.

Lawatan kerja itu turut membawa misi Malaysia untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027–2030.

Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran.

Delegasi Malaysia turut disertai wakil MCMC serta pemain industri telekomunikasi tempatan termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini