KUALA LUMPUR: Paparan peta ancaman siber yang merekodkan aktiviti serangan di Malaysia merupakan sebahagian daripada ancaman digital yang berlaku setiap masa di seluruh dunia.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, semua pihak perlu memahami bahawa ancaman digital adalah berlaku secara berterusan termasuk melibatkan negara-negara jiran.
“Serangan siber berlaku di semua negara dan di semua tempat. Cuba lihat peta ancaman siber secara langsung (live threat map) dan buat penapisan untuk negara Indonesia. Kita akan melihat corak ancaman yang sama di sana.
“Begitu juga Singapura yang merupakan antara negara yang turut merekodkan banyak aktiviti serangan siber. Isunya bukan semata-mata berapa banyak serangan yang berlaku atau lokasi yang dipaparkan pada peta tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Paparan peta ancaman langsung (Live Threat Map) oleh FortiGuard Labs yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan siber negara.
Paparan berkenaan menunjukkan beberapa lokasi di negara ini termasuk Cyberjaya, Shah Alam dan Petaling Jaya merekodkan aktiviti ancaman siber dengan serangan dikesan dari beberapa negara antaranya Perancis, Bulgaria, Indonesia, Jepun dan China.
Kebanyakan aktiviti yang dipaparkan dipercayai membabitkan cubaan menceroboh pelayan laman web serta penghala internet yang digunakan di rumah dan pejabat.
Mengulas lanjut, katanya lagi, serangan siber bukan perkara baharu kerana aktiviti itu sudah menjadi sebahagian daripada risiko yang perlu dihadapi setiap organisasi, khususnya institusi kewangan, agensi kerajaan dan sektor infrastruktur kritikal.
“Serangan siber ini berlaku setiap masa dan bukannya baru sekarang ada pengumuman bahawa negara akan diserang. Serangan siber memang sudah menjadi perkara biasa (common) dalam dunia digital.
“Cuma rakyat atau pengguna mungkin tidak memahami dan tidak nampak perkara ini kerana organisasi besar seperti institusi perbankan mempunyai kerangka serta pasukan keselamatan siber masing-masing untuk menguruskan ancaman tersebut.
“Isu ini menjadi perhatian ramai selepas Perdana Menteri membuat pengumuman berhubung peningkatan tahap ancaman keselamatan siber negara,” katanya.
Dalam hal ini, katanya lagi, kerajaan bertanggungjawab menjelaskan mekanisme perlindungan atau pelan pertahanan (defensive plan) termasuk memberikan mesej jelas kepada orang ramai dan entiti yang mengendalikan infrastruktur kritikal negara.
“Apa yang kita tidak mahu adalah serangan siber menyebabkan sesebuah institusi atau organisasi runtuh, lumpuh dan tidak lagi mampu berfungsi.
“Sebagai contoh, terdapat laporan mengenai sebuah bank di Paraguay yang mengalami masalah membabitkan sistem kewangannya. Antara perkara yang dilaporkan adalah kegagalan infrastruktur digital. Kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku di Malaysia,” katanya.
Jelas Siraj lagi, peningkatan tahap kesiapsiagaan keselamatan siber negara daripada rendah kepada sederhana bertujuan memastikan semua pihak bersedia menghadapi ancaman, bukannya mencetuskan panik dalam kalangan rakyat.
Katanya, pengumuman itu lebih ditujukan kepada pentadbir sistem infrastruktur maklumat kritikal negara yang merangkumi 11 sektor, termasuk perbankan, kerajaan, tenaga dan telekomunikasi.
“Bagi rakyat pula, mesej paling penting adalah jangan panik. Apabila menerima amaran yang kelihatan serius, kita perlu menyemak tahap keselamatan digital sendiri termasuk bagaimana kita melindungi maklumat ketika menggunakan perbankan dalam talian dan media sosial.
“Jangan sampai timbul tindakan tidak rasional seperti mengeluarkan wang daripada bank hanya kerana bimbang sistem perbankan akan digodam. Tindakan seperti itu bukan menyelesaikan masalah, sebaliknya boleh menambahkan masalah,” katanya.
Katanya lagi, masyarakat perlu meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan siber dan mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta agensi berkaitan.
“Jangan sekadar membaca amaran tetapi tidak melakukan apa-apa. Kita perlu mengambil panduan keselamatan yang dikeluarkan dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian supaya apabila berlaku serangan, kita sudah mempunyai asas untuk mempertahankan diri,” katanya. – UTUSAN











